Kenyataan Hadi sekadar ‘muslihat politik’, kata Nazri


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz, menepis ajakan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kepada kumpulan Islam agar menyertai Perikatan Nasional sebagai sekadar ‘muslihat politik’.

Terdahulu, Hadi dilihat menolak Muafakat Nasional bersama Umno apabila mengajak semua kumpulan Islam untuk menyertai PN bersama PPBM.

Nazri berkata kenyataan Hadi itu tidak mencerminkan hakikat di lapangan, yang mana hubungan akar umbi Umno dan PAS masih kuat dan baik.

“Itu pendirian parti dia tetapi bagi saya sebagai Ahli Parlimen Umno, kami sedang bekerjasama dengan rakan PAS.



“Saya sudah dalam politik lebih kurang 40 tahun. Saya tahu apa yang dimaksudkan dengan semua ini, (kenyataan Hadi) ini muslihat saja,” katanya kepada FMT.

Meyakini MN akan bertahan walau dalam menghadapi PRU15, Nazri percaya akar umbi PAS tidak sehaluan dengan pemimpin mereka.

“Ada juga beberapa pemimpin PAS yang merupakan Ahli Parlimen bersimpati terhadap kami. Jadi saya tidak bimbang dengan kenyataan Hadi,” katanya.

Beliau mengingatkan PPBM hanya bergantung kepada akar umbi PAS kerana parti itu sendiri tidak mempunyai sokongan secukupnya.



Nazri juga berkata perbalahan Umno adalah hanya dengan PPBM, dan menegaskan Umno tidak boleh membenarkan PPBM mengambil kerusi yang dimenangi oleh pemimpin Umno yang kemudiannya melompat parti.

“Sudah tentu, PAS tak ada masalah dengan mereka. ‘Parti bunga’ (PPBM) tak curi Ahli Parlimen mereka, tetapi kita ada masalah dengan ‘parti bunga’,” katanya.

Walaupun Umno menolak undangan menyertai PN, tidak bermakna ia tidak mahu berkawan dengan PAS, katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi FMT, Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, meminta rakyat menunggu kenyataan balas daripada partinya. FMT



Sekadar tak sertai kerajaan baharu Umno atau tak sokong langsung, Shahrir tanya PAS

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker