Sekadar tak sertai kerajaan baharu Umno atau tak sokong langsung, Shahrir tanya PAS

Seorang veteran Umno tertanya adakah PAS sekadar tidak akan sertai kerajaan baharu pimpinan parti Melayu itu atau tidak akan juga menyokong kerajaan pimpinan parti itu.

Bekas menteri Shahrir Samad menimbulkan hal itu selepas PAS mengumumkan tidak akan menyertai pembentukan kerajaan Perak baharu, selepas pentadbiran Ahmad Faizal Azumu tumbang susulan kalah undi percaya yang dibawa UMNO.

Katanya, PAS bertegas tidak akan menyertai kepimpinan baharu kerajaan Perak kerana ADUN parti Islam itu “tetap bersama PPBM dalam kepimpinan Perikatan Nasional”.

“Maknanya 3 ADUN PAS ingin berada di luar kerajaan baharu. Tapi adakah PAS tidak akan juga menyokong sebuah kerajaan yang dipimpin UMNO?” katanya di Facebook.

Pentadbiran Faizal, yang juga timbalan presiden PPBM, tumbang selepas hilang sokongan majoriti wakil rakyat apabila usul percaya diundi secara belah bahagi pagi tadi – sebanyak 48 ADUN tidak menyokongnya berbanding hanya 10 yang menyokong.

UMNO mempunyai 25 ADUN, PPBM 4, dan PAS 3.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata tiga wakil rakyatnya mengundi menyokong kepimpinan Faizal selaras pendirian Lajnah Politik PAS Pusat.

Namun Shahrir menarik perhatian kepada ucapan Faizal hari ini, mengatakan beliau “mengungkit nostalgianya bersama Pakatan Harapan dan tidak pula sebut pasal Perikatan Nasional”.

“Kiranya tidak dapat menubuhkan kerajaan kerana tidak cukup bilang kerusi, apa lagi pilihan selain dari perlu diadakan PRN Perak?” katanya.

PAS merupakan sekutu PPBM dalam PN dan menjalin kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker