Polis syak Sajat berada di luar negara


Usahawan kosmetik kontroversi, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman kemungkinan berada di luar negara selepas dikatakan menghilangkan diri sejak waran tangkap ke atasnya dikeluarkan 23 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, usaha mengesan Nur Sajat sedang diteruskan dengan kerjasama pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Tindakan masih diambil untuk mengesan Sajat, ada berita menyatakan dia berada di luar negara dan kita masih lagi melakukan pemantauan.

“Sajat (kes) kerjasama di antara pihak IPK Selangor dengan JAIS, ia masih dalam tindakan kita,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atas usahawan kosmetik tersebut selepas dia gagal hadir prosiding sebutan semula pertuduhan berpakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina pada 23 Februari lalu.

Sajat menerusi rakaman ‘live’ di akaun Instagram miliknya semalam menafikan bersembunyi daripada pihak berkuasa dan JAIS sebaliknya hanya mendiamkan diri daripada media sosial Instagram malah mengatakan pihak polis tidak mencarinya kerana mempunyai urusan yang lebih penting.

Semalam, Kosmo melaporkan Nur Sajat nerupakan antara tiga individu yang kini menjadi tumpuan pihak berkuasa tempatan kerana mempunyai waran tangkap ekoran gagal hadir ke mahkamah dan terlibat dengan kes jenayah ko­mersial terbesar di negara ini.

Selain Nur Sajat dua lagi individu tersebut ialah pe­ngasas Sugarbook, Chan Eu Boon, 34, dan ketua sindiket pe­ngubahan wang haram terbesar, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Huzir memberitahu, kes indeks jenayah di negara ini telah menunjukkan penurunan sehingga 24 peratus pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa dalam PKP pergerakan terhad, selain kehadiran begitu ramai anggota penguatkuasa seperti pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi yang berada di merata-rata tempat yang merupakan faktor kes jenayah berkurangan.

“Bagaimanapun, dalam tempoh PKP kita tidak henti-henti menjalankan operasi untuk membuat tangkapan ke atas penjenayah yang telah kita kenal pasti,” katanya. K Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker