Kerajaan PN lemah punca laksana darurat – Mahathir



Sebaran :


Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang lemah di mana hanya memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat menjadi punca kepada pelaksanaan Proklamasi Darurat hingga Ogos depan.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan kerajaan PN untuk melaksanaan darurat adalah demi menyelamatkan kedudukan mereka.

Menurutnya, ini memandangkan peraturan sedia ada seperti beberapa perintah kawalan yang dilaksanakan sebelum ini sudah cukup untuk menangani penularan wabak COVID-19.



Tambahnya, tindakan kerajaan dalam menggantung Parlimen juga menjadikan keabsahan kerajaan PN tidak dapat ditentukan dan terus kekal berkuasa hingga tamat tempoh darurat.

“Sebenarnya darurat ini kalau mereka (kerajaan PN) kata kerana politik saya setuju, kerana politik memang susah (nak dijangka) sekarang.
“Tetapi nak kata kerana COVID-19, ini tidak betul sebab COVID-19 ini orang Malaysia cukup taat kepada kerajaan.

“Suruh dia ‘lockdown’ dia buat, suruh jangan seberang (rentas) sempadan (negeri), dia ikut, mereka sangat patuh.
“Jadi dengan undang-undang yang sudah ada, kita boleh tangani masalah COVID-19, tetapi (PN) sengaja hendak kata kerana COVID-19 perlu adakan darurat.



“(Darurat dilaksanakan) bukan kerana COVID-19, (tetapi) kerana kerajaan (yang lemah), dia ada kelebihan cuma dua undi, sebab itu dia minta diadakan darurat.

“Kita tidak boleh hendak tentukan sama ada dia masih kerajaan ataupun tidak. Jadi bila ada darurat, dia tidak boleh disentuh di Parlimen,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan sesi ‘walkabout’ di Pantai Chenang, Langkawi pada Selasa.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah lari daripada usaha membuka sidang Parlimen, sebaliknya persidangan akan berjalan semula sebaik sahaja darurat ditamatkan.



Beliau turut mengakui bahawa Parlimen juga merupakan satu elemen penting dalam proses demokrasi sesebuah negara.
Namun ketika ini, terdapat pilihan lain dalam membuat ketetapan dari segi undang-undang iaitu melalui Ordinan Darurat yang telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong. Awani


Sebaran :


Leave a Reply