Jika kamu tak serius, jangan salahkan anak muda jauhi politik, ABIM tegur kerajaan


Sikap kerajaan yang tidak serius melaksanakan Undi18 meskipun mendapat persetujuan semua di Dewan Rakyat akan menyebabkan golongan muda menjauhi politik, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Lebih malang lagi terdapat pemimpin yang sinis dan memperlekeh kemampuan mereka untuk mengundi, mentohmah golongan muda sebagai “belum matang” dan “mentah”.

“Jangan salahkan anak muda jika semakin menjauhi politik,” kata presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataan.

ABIM berkata, beberapa wacana dan libat urus berkaitan pendidikan demokrasi mendapati majoriti pelajar menengah atas dan yang berusia 18 tahun ke atas sudah bersedia untuk memilih dalam pilihan raya.

Memetik data batchgeo.com, ABIM berkata, statistik menunjukkan 86% negara menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

“Indonesia dan Timur Leste meletakkan had umur mengundi 17 tahun selain 16 negara lain di dunia meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun,” tambahnya.

ABIM mendapati kerajaan tidak serius meluaskan ruang demokrasi keapda anak muda, walaupun mereka bertanggungjawab dan amanah untuk menyegerakan dasar itu.

“Sebagai ruang anak muda untuk berperanan dalam sistem semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan,” katanya.

“Ketidakseriusan pihak berwajib melaksanakan dasar yang meluaskan ruang demokrasi anak muda termasuk kenyataan sinis segelintir pemimpin politik ini secara tidak langsung akan menjauhkan lagi anak muda dari jalur politik.” FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker