UMNO senasib Golkar atau seroket LDP?

PERJUANGAN politik ibarat maraton. Menguasai politik hari ini sama seperti digariskan Sun Tzu, seorang ahli falsafah, jeneral dan strategis peperangan terkenal China.

Kata Tzu dalam bukunya The Art Of War, senjata paling ampuh dalam sebuah peperangan adalah strategi. Ikut prinsipnya, “kenali diri anda, kenali musuh anda. seribu perang, seribu kemenangan.”

Politik masa depan tidak lagi perlu sehingga menunggu 60 tahun untuk menjatuhkan satu-satu kerajaan. Politik masa depan ialah politik ke arah negara maju. Apa yang dilihat perkara-perkara politik negara-negara maju, rakyatnya tidak runsing untuk tukar kerajaan.
Pendek kata, dalam negara ini sudah sampai satu peringkat kematangan politik yang rakyatnya sudah tak peduli untuk tukar kerajaan yang mereka tidak suka.

Adakah ini yang akan berlaku dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15)? Sikap rakyat ialah sentiasa inginkan kerajaan yang lebih baik.

 

KUASA RAKYAT

Beringatlah sesiapapun, betapa faktor-faktor kejatuhan parti dominan sering kali disebabkan oleh ketamakan kuasa, amalan dasar kronisme, nepotisme dan menyalahgunakan kedudukan sebagai pemimpin. Nama pun politik. Akan ada `abu jahal’nya.

Secara dasarnya, kebanyakan parti dominan kehilangan kuasa kerana wujudnya penentangan rakyat. Kuasa rakyat dikategorikan senjata paling berkesan untuk menyingkirkan pemimpin autoritarian.

Hanya golongan pemimpin sahaja yang tidak menyedari atau mereka sengaja memperkecilkan akan kelebihan kuasa rakyat. Kejatuhan parti dominan juga disebabkan oleh pembelotan ahli parti itu sendiri. Lompat parti. Istilah ‘wangi’ sedikit, ‘menyeberang’.

Hakikatnya, daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan cuma 20 bulan sebelum PRU-14. Parti yang kemudiannya hanya memenangi 13 kerusi Parlimen walaupun bertanding 52 kerusi berbanding 50 PKR dan DAP (42) menempatkan pengerusi dan presidennya sebagai Perdana Menteri ketujuh dan kelapan, turut menguasai beberapa kementerian kanan. Sekarang Bersatu meraih tambahan kerusi, 31 kesemuanya.

Menoleh, melihat keazaman Parti Keadilan Rakyat atau PKR, ia ditubuhkan pada 2003 hasil gabungan PKR dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

PAU 2020: UMNO BN bukan lagi dominan, perlu ‘kerjasama politik’ yang menguntungkan mereka

Walaupun Keadilan cuma dipimpin seorang ibu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sementelahan ketiadaan suaminya di penjara, beliau tetap berhasil meningkatkan perwakilan parlimen dari hanya satu kerusi pada 2004, kepada 31 kerusi pada PRU 2008. Kini, PKR memiliki 35 kerusi campur wakil Bebas.

Pas pula lagi perit cabarannya sebelum apa yang dinikmatinya hari ini. Semenjak 1990, Pas melangkah maju daripada sebuah parti pembangkang yang dianggap `ekstrem’ kepada parti moderat dalam melaksanakan cita-cita Islamnya bermula di Kelantan (1990), kemudian ke Terengganu (1999 hingga 2004). Dan Pas kemudian mendapat kepercayaan rakyat di Kedah, Perak dan Selangor.

Kejayaan cemerlang Pas dalam PRU-12 pada 2008 meletakkannya sebagai parti pembangkang utama. Pas cukup konsisten dalam perjuangan walaupun cuba dipecah oleh ahli-ahli yang membentuk Parti Amanah. Oleh kerana konsistennya itu maka mereka memperoleh 18 kerusi Parlimen dan dua negeri (Kelantan dan Te­rengganu).

Dan meskipun nasib tidak menyebelahi UMNO dalam PRU-14, 9 Mei 2018, parti itu yang kembali bernafas `buat sementara’ ini melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa lebih agresif mendepani cabaran. Pada masa sama, PN khususnya Bersatu berterima kasih kepada UMNO, yang menyumbang 38 kerusi Parlimennya untuk menjadi tiang dan beluti rumah PN.

 

PARTI DOMINAN

Sebagai perbandingan dengan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun, banyak parti dominan di dunia ini telah kehilangan kuasa sebagai parti pemerintah.

Antaranya Kongres di India (1977), Nacionalista di Filipina (1986), Golkar di Indonesia (1998) dan Kuomintang (KMT) di Taiwan (2000).

Golkar misalnya, setelah memerintah Indonesia selama 32 tahun secara de facto, akhirnya gagal meneruskan hegemoninya sebagai parti dominan. Kejatuhan Golkar sering kali dikaitkan dengan amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan mentadbir negara secara authoritarian. Sehingga kini Golkar kekal sebagai parti serpihan.

Kuomintang (KMT) juga gagal mengekalkan kehebatannya sebagai parti dominan apabila tewas dalam pilihan raya presiden 2000.

Terdapat banyak faktor yang menjelaskan kejatuhan KMT sebagai parti dominan. Antaranya berlaku persengketaan antara puak politik arus perdana dengan puak politik yang menentang arus. Ini lantas membawa penurunan sokongan terhadap KMT dalam pilihan raya umum.
Senario sedemikian juga berlaku kepada LDP di Jepun sehingga mengakibatkan kehilangan kuasa memerintah pada 1993.

Begitupun LDP bingkas bangkit selepas itu dengan memenangi lima pilihan raya Parlimen sejak 2012. Walau sehebat mana pun sesebuah kerajaan, pilihan raya adalah penentu nyawanya sama ada berakhir atau kelangsungan untuk terus memimpin dan memerintah.

Kerajaan yang kuat membawa maksud kepelbagaian variasi dan faktor ekonomi sangat penting dalam mendukung kekuatan politik. Kekuatan governance sangat penting di dalam menguruskan pilihan raya khususnya kelancaran perjalanan pilihan raya, penguasaan media khususnya media baharu.

Isu pilihan raya negara ini bagaimanapun lebih kepada soal integriti. Bukan soal BN yang diketuai UMNO tidak menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah parti yang berwibawa. Kalau BN bukan parti berwibawa, ia tidak akan dapat membangunkan ekonomi Malaysia suatu ketika dari hanya RM4 bilion kepada RM1.3 trilion. Siapa lakukan ini? BN dengan di bawahnya UMNO sebagai tunjang.

BN sudah ada track record untuk dibuat penilaian, iaitu BN memberi satu kestabilan politik selama lebih enam dekad.

 

IKTIBAR

Di sebalik itu, lebih penting lagi harus dijadikan iktibar oleh mereka yang berada dalam parti-parti politik Melayu termasuk UMNO jika ingin terus berkuasa adalah menjauhi perangai buruk yang jauh dari sifat rahmah.

Renungi pesanan Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) ini. Hayatilah:

Beriman di mulut hati berlumut.
Beriman di lidah hati menyalah.
Lidah bercabang langkah menyilang.
Tamak harta mabuk dunia.
Lupa bangsa lupa akhirat.

Kemaruk puji lupa diri.
Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong.
Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.
Berguru dengan nafsu.
Beraja pada selera.
Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helah cacat mencacat.
Sesama keluarga laga melaga.
Sesama kawan makan memakan.
Sesama sahabat sebat menyebat.
Sesama bangsa paksa memaksa.

Zulkifli Jalil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker