PAU2020: Perwakilan setuju tolak Bersatu, gesa tindakan tegas unsur ‘khianat’ parti


Walaupun belum dimuktamadkan, pendirian Umno untuk tidak lagi bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang sudah diketahui umum.

Malah sepanjang Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini, ucapan para pemimpin turut mengekalkan nada seperti itu, antaranya Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki.

Begitu juga dengan sejumlah perwakilan Umno yang ditemui Malaysiakini di PWTC, Kuala Lumpur hari ini. Bagaimanapun ada yang menyatakan pandangan berbeza berhubung langkah seterusnya yang perlu diambil parti itu.

Exco Pemuda Umno Farhan Khairudin tidak menolak kerjasama dengan mana-mana parti, termasuk Pakatan Harapan (PH), namun menegaskan ia tidak boleh sehingga melanggar dasar parti.



“ Umno hanya akan berkerjasama dengan mana-mana pihak yang menerima falsafah dan prinsip Umno. Itu jelas.

“Kalau PKR dan DAP tidak boleh terima prinsip Umno, tak mungkin kami berkerjasama dengan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Perwakilan dari Selangor, Omar Al-Khattabi dan Exco Pemuda Kuala Kangsar Mustafa Shah Abdul Hamid, mereka mahukan parti itu bergerak sendiri pada PRU akan datang.

“BN yang sebelum mentadbir masih cukup kuat. BN tak sempurna tapi gabungan ini yang terbaik,” kata Mustafa.



Jelas Omar pula, partinya hanya perlu membuat keputusan berhubung gabungan dengan mana-mana parti politik selepas PRU.

“Pendirian kami hanya dengan BN, selepas pilihan raya baru putuskan kerjasama dengan siapa. Itu bergantung selepas pilihan raya,” jelasnya.

Ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pagi ini, Mohamad sekali lagi mengulangi gesaan agar kerjasama dengan Bersatu ditamatkan.

Jelas merujuk Bersatu, dia berkata “pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung” tidak perlu membangkitkan perpaduan ummah dengan Umno apabila mereka sendiri tiada rekod dalam soal itu.



Asyraf pula membangkitkan PAS yang mempertahankan kerjasama dengan Bersatu sebagai “bermadu” dan melukai Umno.

Pada masa sama, dia menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar tidak menandatangani “watikah” untuk pemimpin parti itu yang bersikap hipokrit.

Ia dipercayai merujuk kepada watikah pencalonan sebagai calon BN bagi PRU ke-15 nanti.

Tindakan tegas untuk ahli khianati parti



Mengulas ucapan Asyraf, perwakilan dari Kuantan, Muhammad Faiz Hashim turut mendakwa kenyataan Asyraf lebih merujuk kepada pihak yang dilihat mengkhianati parti itu.

“Senang cerita, siapa yang makan cili dia terasa pedas,” jelasnya.

Perwakilan dari Selangor Afif Farhi Othman turut menggesa agar tindakan tegas diberikan kepada ahli yang dianggap melemahkan Umno.

“Duri dalam daging Umno tak patut diberi peluang untuk bertanding mewakili Umno dalam PRU,” katanya.



“Tindakan tegas perlu diberikan kepada mereka yang khianat parti,” kata Mohd Shahrizan Sahri, juga perwakilan dari Selangor.

Untuk rekod, tetap ada sejumlah pemimpin Umno yang dianggap cenderung untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu, yang diterajui bekas timbalan presiden Umno sendiri, Muhyiddin Yassin.

Antara nama yang sering dikaitkan dengan kumpulan itu – digelar sebagai “kluster kabinet” – ialah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

Dua pemimpin Umno daripada Perlis, iaitu Shahidan Kassim dan Zahidi Zainul Abidin juga menunjukkan kecenderungan sedemikian. Mk



https://mykmu.net/2018/01/03/mesyuarat-agung-ppbm-tidak-ikut-perlembagaan-sekadar-syok-sendiri-sahaja/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker