Pertumbuhan Malaysia akan kembali ke tahap pra-pandemik tahun ini, kata Bank Dunia — MYKMU.NET

Pertumbuhan Malaysia akan kembali ke tahap pra-pandemik tahun ini, kata Bank Dunia



Sebaran :


Pertumbuhan ekonomi Malaysia sepatutnya kembali ke tahap pra-pandemik menjelang akhir tahun ini, kata Bank Dunia.

Namun, pemulihan yang lebih luas di negara seluruh Asia Timur dan Pasifik akan tidak konsisten, katanya.

Katanya, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencatat pertumbuhan 6% berbanding tahun lalu, yang kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Vietnam.



Walaupun China dan Vietnam berjaya mencatat pertumbuhan pada akhir 2020, sebahagian besar Asia Tenggara hanya akan mencapai tahap itu pada akhir 2021, dengan Thailand dan Filipina hanya akan berada di landasan tepat untuk mencapainya pada awal hingga pertengahan 2022.

Menurut laporan ekonomi Asia Timur dan Pasifik terbarunya yang bertajuk “Uneven Recovery” (Pemulihan Tidak Sekata), kecuali China dan Vietnam, rantau ini hanya akan mengalami pertumbuhan yang diunjurkan sebanyak 4.4%.

Sebagai perbandingan, pertumbuhan dicatatkan sekitar 6% hingga 8% sepanjang sedekad lalu.



Mengenai perbezaan antara trajektori negara, menurut laporan itu, kecepatan sesebuah negara dapat pulih daripada krisis ekonomi berkait dengan pengurusan krisis kesihatan.

“Negara berprestasi paling lemah adalah negara yang mengalami kadar jangkitan dan kematian Covid-19 yang tinggi; yang lebih bergantung kepada sekatan pergerakan berpanjangan berbanding strategi berasaskan ujian berkesan; dan yang bergantung kepada pendapatan daripada pelancongan berbanding eksport barang-barang perkilangan, terutama elektronik,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, prognosis ekonomi bagi negara kepulauan kecil seperti Samoa dan Tonga kurang baik berbanding di tempat lain di rantau ini walaupun mencatatkan bilangan kes Covid-19 yang rendah.



“Pemulihan dijangka berlarutan dalam ekonomi kepulauan yang bergantung kepada pelancongan, dengan pertumbuhan dijangka negatif bagi separuh daripada negara tersebut, walaupun sebahagian besar daripadanya tidak terjejas dengan pandemik,” katanya.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, risiko seperti pemberian vaksin yang tertangguh dan kemunculan mutasi yang lebih menular boleh menjejaskan unjuran tersebut, dengan risiko pertama berpotensi mengurangkan angka unjuran Keluaran Dalam Negara kasar sehingga satu mata penuh.

Sementara angka langsung berpotensi baik bagi banyak negara, pertumbuhan jangka panjang boleh terhalang akibat pengangguran, kehilangan pembelajaran kerana penutupan sekolah, dan kemungkinan peruntukan dana dialihkan daripada penyelidikan dan inovasi.



“Kecuali masalah ini diatasi, pertumbuhan pada dekad berikutnya boleh menjadi 1.8% lebih rendah berbanding unjuran pra-Covid-19 di rantau itu, tidak termasuk China, sekalipun mengambil kira impak positif penyebaran teknologi baru,” menurutnya. FMT

Pelabur asing dijangka terus jual saham tempatan


Sebaran :


Leave a Reply