Budimu Di Kenang Jua….Mulianya Hati Abang Posmen

Bagi segelintir individu, jumpa wang disifatkan mereka sebagai ‘rezeki terpijak’ apatah lagi jumlah ditemui sekitar RM1,300.

Namun, berbeza bagi seorang posmen yang berusaha menjejak pemilik wang berkenaan selepas menemukan dompet yang tercicir itu.

Malah, dia bimbang jika pemilik wang itu memerlukan wang berkenaan untuk kegunaan keluarga ataupun perkara lain yang mendesak.

Usahanya menjejak pemilik wang berkenaan berjaya sebelum kisah Mohd Shazlan Rusman, 32, yang menyerahkan semula dompet mengandungi wang dan dokumen penting itu tular di laman sosial, semalam.

Bercerita lanjut, Mohd Shazlan berkata, dompet itu ditemuinya jam 2 petang semalam berhampiran sebuah kilang di Juru, Pulau Pinang.

“Saya jumpa dompet itu ketika menunggang motosikal dan mahu membuat penghantaran surat di kawasan berkenaan.

“Sebaik melihat dompet berkenaan, saya terus mengambilnya dan berniat memulangkan semula kepada pemilik asal kerana ada banyak wang di dalamnya selain dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank, lesen memandu serta lain-lain lagi.

“Memandangkan tidak tahu bagaimana untuk mengembalikan semula dompet itu, saya memuat naik hantaran di Facebook (Fb) dengan harapan ada yang membantu menjejaki pemilik berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Percubaan Mohd Shazlan itu berhasil apabila dia dihubungi pemilik dompet, Mohd Zulhairi Sabarudin, 46, kira-kira 30 minit selepas memuat naik hantaran berkenaan.

“Pada mulanya, ada beberapa individu meninggalkan komen mendakwa pemilik dompet itu rakan mereka.

“Tidak lama selepas itu, saya dihubungi pemilik asal dan bertemu dengannya jam 5 petang semalam untuk memulangkan semula dompet miliknya.

“Lega rasanya dapat kembalikan semula dompet itu kerana wang yang ada bukan sedikit dan bimbang jika dia mahu menggunakannya untuk keperluan keluarga,” katanya yang menjadi posmen sejak 12 tahun lalu dan kini bertugas di Pejabat Pos Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohd Zulhairi yang menetap di Teluk Kumbar, Pulau Pinang berkata, dia menyedari dompetnya tercicir ketika mahu mengisi petrol di sebuah stesen minyak.

Katanya, dia mengakui panik namun berusaha mencari semula dompet itu di kawasan kedai runcit dan sekitar kawasan kilang yang dikunjunginya sebelum ke stesen minyak.

“Namun, dompet itu tidak ditemui. Mulanya saya reda kerana menganggap tiada rezeki tetapi sebaik tiba di rumah, saya menerima kiriman WhatsApp daripada rakan mengenai hantaran Mohd Shazlan.

“Dalam hantaran itu, Mohd Shazlan ada meletakkan nombor telefon jadi saya terus menghubunginya dan mengatur pertemuan untuk mengambil semula dompet berkenaan.

“Alhamdulillah, dompet itu selamat dikembalikan dan kisah berkenaan mungkin nampak biasa bagi orang lain tetapi cukup bermakna buat saya.

“Jutaan terima kasih kepada Mohd Shazlan kerana berusaha mencari saya. Majikannya bertuah kerana mempunyai pekerja yang jujur dan amanah sepertinya,” katanya.-HM

Alhamdulillah-Pemilik Tarik Balik Kes, Posmen Lastik Anjing Dapat Kembali Bertugas Semula

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker