CIDB tarik balik saman RM1.65 juta pada Jepak Holdings


Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menarik balik saman terhadap Jepak Holdings Sdn Bhd bagi menuntut lebih RM1.65 juta pembayaran levi tertunggak melibatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Peguam Afifah Afif, yang mewakili syarikat solar itu memberitahu Bernama bahawa peguam CIDB, Nor Ahyani Ahmad telah memaklumkan mengenai perkara itu semasa pengurusan kes melalui e-Review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Maslinda Selamat hari ini.

“Mereka (peguam CIDB) memutuskan untuk menarik balik selepas kami mengetepikan perintah penghakiman ingkar terhadap anak guam kami. Mereka tidak mempunyai kes terhadap anak guam kami,” kata Afifah sambil menambah bahawa mahkamah membenarkan permohonan CIDB untuk menarik balik saman tersebut tanpa perintah kos.

Projek solar hibrid itu dikaitkan dengan kes rasuah membabitkan Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak.



Pada 9 Mac, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jepak Holdings untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar diperoleh CIDB supaya syarikat itu membayar levi berkenaan.

Syarikat solar itu memfailkan permohonan itu pada 11 Feb lepas antara lain memohon perintah mahkamah bagi mengetepikan perintah penghakiman ingkar bertarikh 13 Jan lepas bagi jumlah RM1,656,250 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dan kos berjumlah RM1,500.

Dalam permohonannya, Jepak Holdings antara lain mendakwa tidak menerima writ saman dan penyataan tuntutan difailkan CIDB sebaliknya menyedari terdapat tindakan undang-undang terhadap syarikat itu menerusi sebuah portal berita bertarikh 15 Jan lepas.

Jepak Holdings mendakwa tidak berniat dengan sengaja atau cuai untuk tidak memasukkan kehadiran kerana jika menerima writ saman dan penyataan tuntutan itu secara serahan, sudah pasti syarikat itu akan memasukkan pembelaan.



Pada 13 Jan, Mahkamah Tinggi memberi CIDB kebenaran untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Jepak Holdings selepas syarikat itu gagal memasukkan kehadiran dalam saman difailkan CIDB selaku plaintif.

Dalam penyataan tuntutan yang difailkan pada 2 Dis tahun lepas, CIDB berkata berdasarkan peruntukan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) 1994, plaintif berhak untuk mengenakan levi ke atas mana-mana kontraktor berdaftar sebelum bermula kerja pembinaan yang mempunyai jumlah kontrak RM500,000 dan ke atas iaitu untuk jumlah suku peratus daripada jumlah harga kontrak tersebut.

Menurut CIDB, pada 10 Nov 2016, Jepak Holdings dilantik untuk menjalankan kerja-kerja kontrak dikenali sebagai “Cadangan Pelaksanaan Menerusi Rundingan Terus Bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Gen-set/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak” bernilai RM1.25 bilion.

Menurut CIDB, notis tuntutan bertarikh 16 Ogos 2019 telah dikeluarkan terhadap defendan bagi menuntut pembayaran jumlah levi yang masih tertunggak dan masih gagal dijelaskan.



Oleh itu, CIDB menuntut syarikat itu membayar pembayaran levi yang masih tertunggak itu berjumlah RM1,656,250 setakat 16 Ogos 2019 dengan faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Bernama

Peguam Rosmah tuduh Rizal ‘kebas musang king’ RM5 juta



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker