Mati ditetak rakan serumah kerana sering bazir air


KINABATANGAN: Gara-gara dikatakan sering membazir air, seorang lelaki warga asing maut ditetak rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang di Sukau, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Lito Salibat yang berusia 30-an maut akibat kecederaan parah di bahagian perut selepas ditetak dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Dzulbaharin Ismail berkata siasatan awal mendapati, punca pergaduhan disebabkan salah faham antara suspek dengan mangsa berkaitan tabiat penggunaan air di rumah mereka.

”Ketika kejadian, penduduk sekitar menyedari insiden berkenaan selepas mangsa dikatakan berlari keluar daripada rumah dalam keadaan berlumuran darah.



”Selain itu, saksi kejadian sempat melihat suspek melarikan diri keluar dari pintu belakang rumah, namun tiada sesiapa yang berani menahannya kerana suspek dilihat sedang memegang sebilah parang.

”Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan sering membazir air walaupun kawasan perumahan pekerja ladang berkenaan kerap kali mengalami masalah bekalan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dzulbaharin berkata, mangsa sempat dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia pada jam 10 malam hari yang sama.

”Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan dibantu Unit anjing pengesan K9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.



”Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Richarles Edward di nombor 089-561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. FMT

Budak 9 tahun lawan perogol ibu mati ditetak



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker