Dedahkan ‘kartel’ mahu tumbangkan KPN


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador digesa mendedahkan ‘kartel’ yang dikatakan mahu menggulingkannya supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Bekas KPN Musa Hassan berkata, kartel lazimnya adalah individu di luar pasukan polis yang mempunyai pertalian rapat dengan pegawai polis tertentu.

“KPN mesti mengenal pasti mereka supaya tindakan boleh diambil,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya, umum mengetahui wujud puak-puak dalam pasukan polis dengan segelintir pegawai menyokong kumpulan tertentu demi mendapat kenaikan pangkat.

Bagaimanapun, katanya, jika kartel yang terlibat bererti ada pihak luar yang mempunyai hubung kait dengan polis tertentu.

Musa mengulas laporan Sinar Harian pada 17 Mac yang memetik Hamid mengatakan sekumpulan polis muda membentuk kartel untuk untuk mendominasi pasukan itu bagi menjatuhkannya.

Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahannya sebelum ini bahawa segelintir pegawai kanan di peringkat pertengahan juga terlibat dengan kartel.

Hamid berkata kartel itu akan memastikan rakan pensubahat mereka dinaikkan pangkat seterusnya mendominasi pucuk pimpinan tertinggi polis pada masa depan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyifatkan pendedahan Hamid itu ‘amat membimbangkan’.

“Ini mungkin telah berlaku sejak berdekad lalu. Kita memerlukan suruhanjaya diraja Parlimen bererti darurat perlu berakhir dan Parlimen mesti bersidang,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen PKR itu menambah, suruhanjaya diraja luar diperlukan untuk menyingkirkan kartel yang didakwa wujud dalam pasukan polis itu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago pula menggesa siasatan besar-besaran diadakan berhubung isu itu.

“Kita dalam keadaan darurat. Hakikat bahawa KPN mengiktiraf sekumpulan orang sedang bersekongkol untuk menjatuhkannya demi memudahkan kerja kotor mereka menunjukkan pasukan polis telah diresapi golongan yang meletakkan kepentingan sendiri mengatasi negara,” katanya.

Tambahnya, kewujudan kartel seperti itu mungkin antara punca pengedaran dan penggunaan dadah masih terus berleluasa di negara ini.

“Jika mereka bergabung untuk menjatuhkan ketua polis negara ini, ia bererti mereka amat kuat. Adakah ahli politik dalam kerajaan yang melakukannya atau adakah wujud dalang dalam dunia jenayah yang memanipulasi polis?” soalnya.

Beliau menggesa kerajaan segera bertindak balas terhadap isu itu.

Hamid, 62, dilantik KPN pada 4 Mei 2019 dan kontraknya berakhir pada 3 Mei ini. FMT

KPN digesa buat laporan, siasat kartel polis kotor

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker