Jeritan jiran selamatkan dua beranak
ALOR GAJAH: Dua beranak nyaris rentung apabila rumah mereka dijilat api sedang nyenyak tidur dalam kejadian di Kampung Kuala Ina, Tampin di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Alwi, 70, dan anak lelakinya, 20, berjaya menyelamatkan diri selepas dikejutkan jiran tetangga.
Menurut seorang saksi, Musa Md. Som, 61, dia menyedari kejadian tersebut kira-kira pukul 6 pagi selepas dia dan isteri, Rogayah Abdullah, 67, keluar rumah untuk ke masjid.
“Saya dan isteri baru keluar rumah untuk ke masjid bagi menunaikan solat Subuh sebelum ternampak api marak dari dapur rumah Alwi yang terletak kira-kira 100 meter.
“Kami segera ke rumahnya untuk membantu mangsa, namun, Alwi dan anaknya telah dikejutkan oleh jiran tetangga yang lain sebelum berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, isterinya kemudian telah membuat panggilan kecemasan menghubungi pasukan bomba untuk memadamkan kebakaran itu.
“Api marak dengan cepat, malah kereta anaknya jenis Perodua Viva turut terbakar. Dalam tempoh hanya kira-kira 20 minit, keseluruhan rumah separuh batu dan separuh papan itu hangus.
“Apa-apa pun kami tetapi kami bersyukur kerana mereka berjaya dikeluarkan dari rumah tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.05 minit dan sepasukan 11 anggota dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian pada pukul 6.23 pagi, kita dapati sebuah rumah berkeluasan 70 x 40 kaki persegi serta sebuah kereta telah hangus 80 peratus.
“Kerja-kerja pemadaman dibuat dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.32 pagi,” katanya.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -UTUSAN ONLINE
You must be logged in to post a comment.