Firma audit gagal buktikan NFCorp beli hartanah guna duit kerajaan

 

SHAH ALAM – Firma audit dilantik kerajaan, Price Waterhouse Malaysia (PwC) gagal membuktikan sumber dana National Feedlot Corp Sdn Bhd (NFCorp) untuk pembelian hartanah adalah bersumberkan wang pinjaman kerajaan sebelum ini.

Peguam mewakili NFCorp, Datuk K Kirubakaran dalam satu kenyataan berkata, kegagalan pembuktian itu berdasarkan laporan penilaian audit ke atas NFCorp yang disediakan PwC.

Pada masa sama, beliau menjelaskan keterangan saksi turut mengesahkan sebenarnya PwC dalam laporan penilaian audit gagal menunjukkan kaitan langsung antara wang pinjaman daripada kerajaan dengan wang pembelian hartanah yang digunakan oleh NFCorp.

Selain itu, Kirubakaran menjelaskan wang pembelian hartanah digunakan NFCorp sebelum ini sering dikaitkan untuk kepentingan peribadi dan keluarga Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan bukannya untuk kepentingan dan urusan perniagaan NFCorp.

Mampukah ‘populariti Covid-19’ Muhyiddin beri kemenangan PRU15?

“Laporan audit ke atas NFCorp itu juga gagal mengambil kira klausa-klausa penting dalam perjanjian pelaksanaan mengenai Program Pembangunan Usahawan (EDP) dan obligasi Kerajaan Malaysia untuk penyediaan dan penyempurnaan Export Quality Abattoir (EQA).

“PwC dalam penyediaan laporan penilaian audit tersebut telah gagal meneliti pelan produksi yang dinyatakan dalam Jadual 9 Perjanjian Pelaksanaan adalah sebenarnya bergantung kepada Program EDP yang hanya akan dilaksanakan apabila EQA disiap sedia oleh pihak Kerajaan,”jelas Kirubakaran dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Kirubakaran menjelaskan PwC tidak mendalami dan memeriksa akaun, invois dan dokumen-dokumen lain NFCorp secara teliti bagi dakwaan penyalahgunaan wang pinjaman yang dinyatakan dalam laporan penilaian auditnya.

Berikutan itu, menurutnya, adalah tidak tepat dalam menyatakan NFCorp telah secara salah menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kepentingan peribadi dan keluarga Salleh.

“Kenyataan ini disokong oleh keterangan diberikan pengarah PwC Malaysia, Lim San Peen,” katanya.

Sementara itu, Kirubakaran menjelaskan semasa San Peen disoal oleh peguam defendan-defendan, beliau memberi keterangan hanya membuat dan menyediakan laporan penilaian audit berkenaan berdasarkan dokumen-dokumen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan beliau tidak meneliti dokumen-dokumen seperti invois NFCorp secara mendalam.

Dalam perkembangan lain, Kirubakaran turut mendedahkan Andrew Heng, daripada firma Ferrier Hodgson MH (FHMH) juga memberi keterangan bahawa NFCorp, memperoleh nilai pusingan perniagaan yang tinggi dan menjana keuntungan pada masa yang penting selain daripada jumlah pinjaman dikeluarkan daripada Akaun Pinjaman Khas (SLA).

FHMH adalah firma audit yang dilantik oleh pihak NFCorp untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian ke atas laporan audit yang dibuat PwC.

Heng menjelaskan bahawa laporan penilaian audit oleh PwC itu adalah tidak menyeluruh, komprehensif dan selamat untuk dijadikan sandaran dalam penilaian kerajaan dan mahkamah, katanya.

“Heng turut menekankan NFCorp telah menyerahkan prosedur operasi standard (SOP) kepada Jabatan Veterinar untuk Program Pembangunan EDP malah tiada apa-apa maklum balas yang diberikan oleh pihak Kerajaan.

“Pada masa sama, Heng memberi keterangan bahawa penilaiannya mendapati NFC tidak dapat mencapai sasaran operasi kerana kerajaan tidak membina EQA seperti mana yang diperlukan,” jelasnya.

NFCorp kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan tindakan kerajaan mendapatkan perakuan daripada mahkamah bagi mendapatkan semula pinjaman RM250 juta oleh Kementerian Kewangan demi menjayakan projek ternakan lembu oleh NFCorp.

 

Kaji model perniagaan kalis pandemik

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker