Wanita mabuk himpit dua motosikal sudah ditahan
Ampang Jaya: Pemandu wanita yang melanggar dua motosikal di Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa di sini, semalam ditahan polis di kediamannya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 52 tahun itu ditahan pada 3.30 petang dan dibawa ke hospital bagi menjalani ujian kandungan alkohol di dalam darah.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta jenis Toyota Vios itu menghimpit dan melanggar motosikal jenis Harley Davidson dan Yamaha Avantis sehingga mengalami kerosakan pada jam 12.41 tengah malam.
“Kedua-dua penunggang terbabit meminta pemandu wanita itu membuat laporan polis, namun dia terus memecut dan melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tiada kecederaan dilaporkan dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi.
Terdahulu, video wanita berkenaan melarikan diri tular di media sosial.
Video berdurasi seminit itu menunjukkan wanita berkenaan seperti dalam keadaan tidak sedar dan mengaku memandu dalam keadaan mabuk. HM