Dua polis diberkas terlibat kes samun kedai 24 jam



Sebaran :

KELANA JAYA – Dua anggota polis antara empat individu diberkas dalam kejadian samun melibatkan sebuah kedai serbaneka 24 jam di kawasan SS 6 di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi melibatkan mangsa berumur 41 tahun yang merupakan pekerja kedai serbaneka tersebut.

“Siasatan dijalankan mendapati mangsa didatangi seorang wanita yang masuk ke premis tersebut dengan memakai vest bertulisan polis dan mengambil beberapa barangan dalam kedai tanpa membuat sebarang bayaran.



“Mangsa cuba meminta suspek membuat bayaran bagaimanapun suspek memberi alasan pegawai atasannya akan membayar dalam tempoh satu jam, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta peronda polis jenis Honda Civic,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata, berdasarkan risikan dan maklumat, polis kemudiannya memberkas dua anggota polis dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Tangkapan dijalankan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Balai Polis Kelana Jaya dengan menahan suspek yang merupakan anggota polis berumur 38 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.



“Suspek kedua yang juga merupakan anggota polis berumur 31 tahun turut ditahan di lokasi sama,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan dijalankan, polis kemudiannya berjaya memberkas dua lagi suspek kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.

“Seorang wanita berumur 36 tahun dan seorang lelaki berumur 27 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.



“Semakan rekod lampau mendapati suspek kedua dan ketiga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.


Sebaran :


Leave a Reply