‘Hukum pihak langgar SOP termasuk menteri, VIP – MUDA

Sebaran :

SHAH ALAM – Kerajaan digesa menguatkuasakan tindakan tegas dan adil kepada semua tanpa mengira latar belakang mereka dalam memastikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Gesaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dibuat bagi memastikan pihak melanggar SOP termasuk dalam kalangan yang mempunyai kedudukan, pengaruh dan kuasa (VIP) turut tidak terlepas hukuman.

Muda berkata, pihak bertanggungjawab mesti menyiasat semua kes melibatkan kumpulan menteri atau mana-mana VIP dan mendedahkan setiap proses serta hasil siasatan dijalankan dengan telus dan adil.

“Muda mahu pihak kepimpinan kerajaan dan polis mengambil tindakan terhadap layanan dua darjat atau ‘double standard’ diterima para menteri dan VIP berbanding dengan rakyat jelata dalam mematuhi SOP kesihatan,” kata Muda dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muda mendakwa tindakan pihak berkuasa bagaimanapun tidak konsisten dalam penguatkuasaan pematuhan SOP sehingga menonjolkan ketidakadilan dan bersifat zalim kepada rakyat.

“Pada Sabtu 13 Mac, dilaporkan satu pasangan dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak memakai pelitup muka walaupun membukanya untuk makan dan minum.

“Setakat 14 Mac, 458 orang awam disaman, dengan 438 dikenakan saman, tujuh direman dan 13 dilepaskan dengan jaminan. Rakyat melanggar SOP dikenakan saman RM10,000.

“Tindakan yang segera dan berat walau bagaimanapun tidak dikenakan ke atas golongan menteri dan ahli politik,” dakwa Muda yang turut menamakan beberapa pemimpin politik dipercayai melanggar SOP.

Antaranya, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa didakwa tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan sosial ketika menghadiri Program Pertanian Bandar di Desa Petaling pada 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, Muda juga akan melancarkan satu laman lapormenteri.com yang akan mengumpul segala aduan dan maklumat berkait golongan menteri dan VIP yang melanggar proses SOP.

“Laman ini akan memuatkan semua pelanggaran SOP untuk dipamerkan kepada orang ramai dan dibawa ke perhatian pihak berkuasa serta kerajaan,” kata kenyataan itu.


Sebaran :

Leave a Reply