‘Rider Helmet Pink’ tubuh pasukan lumba motosikal

SHAH ALAM: Minat mendalam terhadap sukan permotoran dua roda membuatkan Nur Atikah Azwar menyahut cabaran menubuhkan pasukan perlumbaan sendiri untuk bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021, Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) dan Lumba Drag.

Nur Atikah, 25, muncul wanita termuda pertama di Malaysia memiliki pasukan perlumbaan dikenali sebagai Tuneboss-Pink Racing Team yang akan menggunakan jentera Yamaha Lagenda dalam Kejuaraan Cub Prix.

Bermula sebagai “motovlogger” pada 2019 dengan membuat video berkaitan pengembaraan, cara memperbaiki motosikal dari perspektif wanita serta ulasan saingan Cub Prix sebelum ditawar untuk mempromosikan aktiviti sampingan kejohanan itu pada tahun sama.

Beliau kemudian menyahut cabaran sebagai pelumba sokongan pada perlumbaan sokongan kategori Pro-Am 2020 sehingga dikenali sebagai “Rider Helmet Pink”.

Cinta terhadap sukan itu yang didominasi lelaki terus meningkat sehingga Nur Atikah membuat keputusan menubuhkan pasukan sendiri pada hujung tahun lepas bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita sebagai pelumba dan kru pasukan.

“Saya tubuhkan pasukan ini untuk tarik ramai wanita ke dalam industri sukan permotoran Malaysia kerana di luar sana ramai wanita yang bercita-cita menjadi pelumba. Ada juga yang ingin menjadi mekanik tetapi mereka tiada platform untuk memulakan perjalanan itu.

“Jadi, saya berharap mungkin suatu hari nanti kami boleh mengembangkan pasukan dengan ramai lagi wanita. Bagaimanapun, kami tidak mahu dibarisi wanita sepenuhnya, ada juga sokongan kuat daripada lelaki dalam pasukan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran pasukannya di sini, pada Ahad.

Nur Atikah berkata pasukannya tidak meletakkan sasaran tinggi tetapi mahu menimba pengalaman dan meningkatkan kemampuan jentera.

Beliau turut memperkenalkan tiga pelumba Tuneboss-Pink Racing Team bagi cabaran Cub Prix terdiri daripada Alia Saarizan bagi kategori Wira sementara Fifi Muhammad dan pelumba tunggal lelaki Harith Baharin berlumba dalam kelas CP125.

Sementara itu, Fifi yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai kategori perlumbaan Siri Super Malaysia (MSS) dan Cub Prix menyasarkan meraih sebanyak mata yang boleh.

“Saya di tahun pertama untuk (kelas) CP125, sandaran saya tidak tinggi tetapi saya berharap boleh mengumpul mata di setiap pusingan,” katanya.

— BERNAMA

Ikat Perut Jual Cendol

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker