Ikat Perut Jual Cendol

Kuala Lumpur: Hilang sumber pendapatan hampir 100 peratus kerana halangan untuk tidak dibenarkan berlumba menyebabkan seorang pelumba Cub Prix negara, Haziq Hamdan terpaksa mengikat perut dan bekerja sambilan di gerai menjual cendol.

Dia yang kini bersama pasukan Elf Koyoko Honda KC Racing ada kalanya terpaksa makan maggi berikutan tidak mahu menyusahkan keluarga kerana tidak juga selalu dipanggil untuk bekerja di gerai cendol berkenaan.

Bukan hanya Haziq malah abangnya, Firdaus Hamdan yang juga memiliki kerjaya sebagai pelumba turut berdepan situasi yang sama sejurus selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membenarkan perlumbaan Cub Prix berlangsung.

Kata Haziq, dia tahu keadaan yang menimpa negara ketika ini tapi sebagai pelumba bukan wang ringgit yang dituntut kepada kerajaan tapi hanyalah kebenaran untuk berlumba.



“Tolong, bantulah kami. Kami tak harapkan duit daripada kerajaan. Kami pelumba Cub Prix ini hanya harap kerajaan membenarkan kami berlumba semula.

“Buatlah SOP (Prosedur Operasi Standard) ketat macam manapun kami akan ikut. Kami tak kisah janji kami dapat berlumba semula dengan berlumba barulah kami mempunyai sumber pendapatan.

 

Haziq bersama abangnya Firdaus dalam perlumbaan.
Haziq bersama abangnya Firdaus dalam perlumbaan.

“Macam saya, tiada perlumbaan maka tak adalah gaji. Gaji dibayar berdasarkan penyertaan di perlumbaan.



“Saya amat berharap, kerajaan akan pertimbangkan perkara ini dan membenarkan baki perlumbaan Cub Prix seterusnya berlangsung selepas tamat PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) nanti,” katanya.

Selain abangnya, Firdaus, adiknya Afiq Hamdan turut sama terbabit dalam perlumbaan cub prix dan penangguhan perlumbaan nyata memberi kesan yang mendalam kepada mereka sekeluarga.

Naib Juara Petronas Sprinta Pro-Am musim lalu berkata, dia hanya sempat berlumba empat pusingan dan kali terakhir dapat beraksi adalah ketika di Kuala Terengganu, September lalu.

Haziq mula menyertai Cub Prix pada 2016 melalui kategori Honda Wave Alpha Challenge, mengikuti jejak langkah Firdaus yang terlebih dahulu bermula dengan Honda Future One Make Challenge pada tahun sebelumnya.



Gandingan mereka dalam satu pasukan ini bukanlah satu perkara baru dalam arena Cub Prix, perkara yang sama pernah dilakukan oleh Ahmad Fazli Sham dan Fazrul Sham suatu masa dahulu.

Pembabitan adik-beradik dalam Cub Prix juga bukan sesuatu yang asing. Elly Brothers, keluarga Raduan, keluarga Supaat dan terkini keluarga Rosmaza adalah adik-beradik yang menyertai Cub Prix dan mendapat sokongan penuh keluarga-HM

Cari Kerja Baru Atau Jaga Lembu – Super KIP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker