Anwar Sebagai PM, Bukan Gagal Cuma Belum Lagi – Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: “Bukan gagal jadi Perdana Menteri (PM), cuma belum lagi…” Itu kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perihal kegagalan beliau berulang kali menjadi PM.

Sebaliknya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu cukup yakin harapan untuk menjadi pemimpin nombor satu negara masih ada.

Malah Presiden PKR itu menegaskan beliau masih calon PM bagi Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, kata Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson, terdapat segelintir pihak kurang senang dengan usaha beliau, terutama golongan elit kaya yang digelarnya sebagai ‘tokoh yang berbilion-bilion’.

Bagaimanapun, kata beliau, perkara itu tidak menjadi masalah kerana keutamaannya hanya untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Bukan gagal (jadi PM), cuma belum lagi. Saya harus terima kenyataan bahawa saya masih jadi calon PM bagi PH, dan insya-Allah kalau boleh diberikan sokongan oleh rakyat, saya akan teruskan untuk menjaga kepentingan terutamanya rakyat bawahan.

“Saya tahu yang kaya-raya ada duit berbilion-bilion itu memang tak berapa setujulah. Tokoh yang bilion-bilion ini, dia memang takut dengan saya. Saya ingat rakyat lebih faham dan lebih selesa,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Mingguan Malaysia di kediamannya Rabu lalu.

Ditanya tentang faktor usia beliau yang kini sudah 74 tahun dan sekiranya gagal lagi pada PRU-15 waktunya dilihat semakin singkat, Anwar berkata, beliau memang memikirkan dalam tempoh usia tertentu hasrat menjadi PM jika terus tidak kesampaian ia akan dilepaskan kepada generasi baharu.

Tiada had ketika undi belah bahagi, cuma ketika perbahasan – Azhar

“Janganlah sampai 95 tahun pun hendak jadi PM,” katanya tertawa.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa kerjasama PKR dengan UMNO seperti yang heboh baru-baru ini, tiada kaitan dengan usahanya untuk menjadi PM, sebaliknya ia adalah usaha bersama dua parti kawan-lawan itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara.

Katanya, matlamat kerjasama itu adalah untuk membentuk kerajaan baharu yang mana dasar ekonominya mengutamakan rakyat jelata, selain menyelamatkan negara daripada kebobrokan yang ada sekarang.

“Kita memberikan ruang dan kita lihat beberapa kenyataan pimpinan UMNO agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tak sah ini.

“Pada masa sama dasar ekonomi yang seharusnya pro rakyat, itu harus diketengahkan, itu semua nampak selari (antara dua parti ini),” katanya.

Tanpa menyebut nama, Anwar berkata, beberapa pertemuan dengan pimpinan UMNO telah dibuat dan hasilnya positif.

Hal ini, katanya, susulan persefahaman antara kedua-dua parti yang berjaya dibentuk, malah beliau meyakini idealisme dibawa UMNO.

“Perbincangan ada, perbincangan yang tak rasmi dengan pimpinan parti, dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO), dan mereka lebih faham kita.

“Maka kalau kemungkinan kerjasama kita, yang kita lakukan dengan Amanah dan DAP, dan kini dengan UMNO yang sehaluan ini, kalau mereka (UMNO) terima landasan ini, ia landasan berteraskan idealisme.

“Saya berpuluh tahun dengan UMNO sebab apa? Sebab saya yakin dengan idealisme itu. Jadi kalau idealisme itu dijadikan landasan, maka saya tak fikir ada masalah,” katanya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker