Amanah pilih untuk kekal bersama Anwar

PETALING JAYA: Selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan perjuangan menolak kleptokrat, Parti Amanah Negara (Amanah) akan terus menyokong Ketua Pembangkang itu untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kleptokrat yang dimaksudkan itu adalah golongan kluster mahkamah yang terpalit dengan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, Amanah tiada masalah sekiranya Anwar ingin menjalin hubungan kerjasama baharu dengan UMNO secara umumnya.



“Kalau dia (Anwar) kekal dengan kelangsungan perjuangannya untuk menolak kleptokrat seperti sebelum ini, Amanah tiada masalah untuk terus menyokong Pakatan Harapan.

“Memang itu dasar perjuangan kita selama ini, dan sememangnya kita akan terus menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Itu ada dalam perjanjian Pakatan Harapan. Selagi Amanah berada dalam PH, kita memang tak ada masalah tentang perkara itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan yang Anwar masih konsisten untuk terus menjadi calon Perdana Menteri pada PRU kali ini.

 



Malah, beliau turut menjelaskan yang PKR tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO atas dasar perjuangan yang sama iaitu menewaskan Perikatan Nasional (PN).

Namun, kerjasama itu tidak dijelaskan sama ada ia termasuk dengan kluster mahkamah seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi dan lain-lain pemimpin berkaitan.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen DAP semalam menegaskan yang parti itu tidak akan bekerjasama dengan ‘kleptokrat’ daripada kalangan pemimpin UMNO yang kebanyakannya menghadapi kes rasuah dan kini mengubah sokongan kepada pembangkang.

Guan Eng juga mengulangi penegasan mengenai perlunya PH menyatukan semua parti pembangkang termasuk yang bukan sebahagian daripada gabungan itu.



“Pendirian kita sama dengan DAP, Amanah memang tiada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO tapi bukan dengan kleptokrat. Saya yakin Datuk Seri Anwar tahu apa yang diperjuangkan selama ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker