“Kalau Orang Ramai Datang Boleh Mereka Melawat Ayah Sekali”- Bapa Bergurau Minta Orang Datang Ziarah

MERSING – “Kalau orang ramai datang boleh mereka melawat ayah sekali.”

Itu gurauan Rosnan Aris, 64, kepada anaknya ketika menziarahi adiknya yang meninggal dunia di kediaman keluarga di Kluang sekat sini.

Menurut anaknya, Izuan Rosnan, 40, dia tidak menyangka gurauan itu menjadi petanda bapa dan ibunya, Aminah Kodir, 70, pergi dijemput Ilahi buat selama-lamanya dalam kemalangan di Kilometer 54 Jalan Kluang – Mersing di sini petang kelmarin.



Jelas juruukur bahan itu, sebelum kejadian tersebut mereka sekeluarga berkumpul di rumah bapa saudaranya, Rosli Aris, 58, yang meninggal dunia pada sebelah pagi hari yang sama.

“Kami sekeluarga berkumpul menziarahi bapa saudara (Rosli) yang meninggal dunia semalam, orang ramai datang melawat jenazah pakcik saya dan ayah saya baring dekat ruang tamu jadi saya minta ayah beralih sebab tak manis, dia bergurau ‘tak apa nanti orang boleh melawat ayah sekali’.

“Pada saya itu hanya gurauan biasa, dalam hati saya cakap ayah sudah buang tabiat. Emak pula dia banyak diam, memerhatikan gelagat anak cucu, bila saya tanya dia kenapa dia cakap dia penat sahaja.

“Selepas selesai makan tengah hari, ayah dan emak saya bergerak pulang ke ke rumah di Felda Nitar 2 selepas waktu Zohor,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.



Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, beberapa jam selepas itu mereka sekeluarga menerima panggilan telefon yang memaklumkan kejadian kemalangan melibatkan kedua ibu bapanya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelas Izuan, menurut beberapa saksi kejadian dan pemandu treler memberitahu kemalangan disyaki berpunca apabila bapanya yang memandu kereta Proton Waja cuba mengelak haiwan yang melintas laluan tersebut sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.

Jenazah pasangan suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Nitar 2 di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, dalam kejadian 2.30 petang itu pasangan warga emas terbabit ditemui maut apabila Proton Waja dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler jenis Volvo dalam kejadian di Kilometer 54 Jalan Kluang – Mersing di sini petang kelmarin.



Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca apabila kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kluang menuju ke Felda Nitar 2 hilang kawalan sebelum bertembung dengan kenderaan berat yang datang dari arah bertentang.-K! ONLINE

Petanda nak ‘PERGI’- Al-Fatihah untuk Allahyarham Komander Mohamad Nizam Mohamad Said



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker