Pegawai pengesah teliti aduan berita palsu

Sebaran :

PUTRAJAYA: Sebarang aduan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 dan proklamasi darurat, akan dirujuk kepada ‘pegawai pengesah’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata proses itu dilakukan selepas laporan maklumat pertama (FIR) difailkan mana-mana individu dan diterima pihak berkuasa.

Beliau berkata, institusi ‘pegawai pengesah’ yang terdiri daripada pelbagai pakar dan agensi kerajaan, selain menganggotai jawatankuasa darurat itu, kemudian akan menentukan sama ada aduan terbabit mempunyai asas untuk diambil tindakan lanjut.

“Pegawai pengesah ini meliputi kepakaran, contoh jika berkaitan kesihatan, ia tanggungjawab pegawai pengesah daripada Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.



“Jika jenayah, pegawai pengesah ialah daripada Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pertahanan. Ini antara beberapa contoh latar belakang pegawai pengesah yang akan meneliti butiran aduan.

“Sekiranya pegawai pengesah mendapati ada kes, maka kenyataan penafian rasmi (PRP) perlu diterbitkan bagi menyangkal berita palsu berkenaan dan siasatan lanjut dibuat.

“Jika penelitian pegawai pengesah mendapati aduan terbabit tiada asas untuk diambil tindakan, maka kes akan dibuang,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Sebaran :

Leave a Reply