Lembaga Disiplin Umno boleh siasat Annuar jika ada aduan rasmi


Bekas setiausaha BN, Annuar Musa akan disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno sekiranya terdapat sebarang aduan rasmi oleh ahli-ahli parti, berikutan kenyataannya pada sidang media yang dianggap menyerang dan memalukan parti.

Namun, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Zulhasnan Rafique berkata setakat ini belum ada sebarang aduan dibuat terhadap Annuar.

“Lembaga Disiplin hanya boleh menjalankan siasatan jika ada aduan rasmi daripada mana-mana ahli Umno,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 6 Januari, Annuar mengadakan satu sidang media susulan disingkirkan sebagai setiausaha agung BN dan digantikan dengan Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung Umno.

Dalam sidang media tersebut, dia dianggap memburukkan imej parti termasuk menyerang presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Antaranya dia mendedahkan bahawa Ahmad Zahid bersengkongkol dengan pemimpin pembangkang serta Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan DAP untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dakwaan tersebut kemudian disangkal oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan mengatakan kerjasama Umno-DAP yang tidak wujud.

Beberapa pemimpin Umno lain seperti Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Puad Zarkashi dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak turut mengkritik tindakan Ahli Parlimen Ketereh itu.

Puad Zarkashi menyifatkan Annuar menunjukkan “perangai sebenarnya” kerana dianggap “membelasah” presiden parti dalam sidang medianya apabila membuat dakwaan tentang kewujudan surat Ahmad Zahid yang menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.

Manakala Najib yang juga bekas presiden Umno berkata sekiranya tidak puas hati dengan keputusan parti, individu dalam parti boleh menyuarakan rasa tidak puas hati melalui saluran parti, dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan mengadakan sidang media. Mk

Belakangkan Keputusan Parti : Parti Setuju Jawatankuasa Disiplin Siasat – Zahid

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker