Bekas pegawai kanan bank dipenjara seumur hidup kerana rasuah

Gambar fail menunjukkan bekas setiausaha Parti Komunis China (CCP) dan bekas Pengerusi Bank Pembangunan China (CDB), Hu Huaibang. yang disabitkan atas kesalahan rasuah. - Foto AFP

BEIJING: Mahkamah China hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur terhadap bekas pegawai kanan bank kerana menerima rasuah berjumlah AS$13.2 juta (RM53.2 juta).

Hukuman terhadap bekas setiausaha Parti Komunis China (CCP) dan bekas Pengerusi Bank Pembangunan China (CDB), Hu Huaibang, itu adalah yang kedua membabitkan sektor kewangan selepas seorang lagi dihukum mati awal minggu ini.

Hu pada Julai lalu mengaku bersalah menggunakan kedudukan untuk menerima wang dan barangan bernilai 85.5 juta yuan (AS$13.2 juta) antara 2009 dan 2019.

CCTV melaporkan, mahkamah di bandar Chengde hari ini menjatuhkan hukuman seumur hidup kepada Huaibang yang disabit kesalahan ‘menggunakan kedudukan’ untuk mendapatkan manfaat bagi pihak lain, dengan menerima rasuah.



Dia diiring pegawai bertopeng ketika hukuman dibacakan dalam perbicaraan yang disiarkan di televisyen, sekali gus menghantar mesej jelas kepada rakyat bahawa rasuah tidak akan dibiarkan di China, di bawah pentadbiran Xi Jinping.

Hukuman itu menyusuli hukuman mati terhadap bekas pengerusi firma pengurusan aset terbesar China, Lai Xiaomin, yang didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan menggelapkan wang bernilai AS$260 juta (RM1.04 bilion).

Huaibang, yang menjadi pegawai kanan Bank Komunikasi sebelum dilantik Pengerusi CDB pada 2013 hingga September 2018, tertangkap berikutan hubungannya dengan taikun minyak yang juga Pengerusi CEFC Tenaga China, Ye Jianming.

Huaibang didakwa menggunakan kedudukannya di Bank Komunikasi dan CDB untuk membantu CEFC mendapatkan baris kredit berjumlah berbilion yuan bagi perjanjian luar negaranya.



Lebih sejuta pegawai dihukum susulan langkah Presiden China membasmi rasuah, namun pengkritik menyifatkan kempen itu turut digunakan Xi untuk menghukum pesaing politiknya. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker