Mahkamah putus perisytiharan darurat oleh Agong, ordinan dilulus tidak boleh dicabar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong dan ordinan yang diluluskan di bawahnya tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, lebih penting ialah Perkara 150 (8) yang menetapkan bahawa keputusan Agong tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atas apa-apa juga alasan adalah sah dan mematuhi perlembagaan.

“Lebih penting Perkara 150 (8) menutup pintu mahkamah daripada apa-apa cabaran atau permohonan yang dibuat terhadap perisytiharan itu dan ordinan yang diluluskan,” katanya.

Hakim berkata demikian ketika membenarkan bantahan Peguam Negara terhadap permohonan tiga wakil rakyat yang mencabar penangguhan sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Ia merupakan kes pertama daripada lima kes yang menyaksikan pemohon, iaitu Salahuddin Ayob, Johari Abdul dan Abdul Aziz Bari gagal melepas syarat ambang rendah supaya merit aduan mereka didengar.

Ahmad Kamal berkata, timbul persoalan sama ada keputusan Agong boleh diputuskan di peringkat permohonan kebenaran dibuat atau mesti diputuskan selepas kebenaran itu diberi.

“Saya berpendapat bahawa isu itu boleh diputuskan di peringkat permohonan,” katanya.

Perisytiharan darurat: Proses semak dan imbang masih terpakai – Pakar Perlembagaan

Hakim berkata, beliau juga berpendapat bahawa tiga pemohon terbabit gagal melepasi syarat ujian semakan kehakiman.
“Jelas tidak terdapat hujah yang menyokong permohonan pemohon. Oleh sebab itu, permohonan kebenaran ini adalah remeh,” katanya.

Berhubung sama ada klausa penyingkiran dalam Perkara 150 (8) yang memberi kesan penyingkiran ke atas bidang kuasa mahkamah bercanggah dengan perlembagaan, Ahmad Kamal berkata, jawapan beliau ialah tidak.

Hakim itu berkata, perlembagaan tidak menetapkan tanggungjawab undang-undang ke atas perdana menteri sebagai responden pertama dalam permohonan itu supaya bertindak seperti yang ditetapkan oleh pemohon.

Salahuddin (Ahli Parlimen Pulai), Johari (Sungai Petani) dan Aziz (Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi di Perak) antara lain memohon perisytiharan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah bertanggungjawab di bawah Perkara 150 (3) perlembagaan untuk menasihati Agong supaya memanggil sidang Parlimen bagi membolehkan perisytiharan darurat dan ordinan di bawahnya dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Polis panggil Guan Eng atas kenyataan PH berkait darurat

Peguam kerajaan dari Jabatan Peguam Negara berkata, Perkara 150(6) dan (8) perlembagaan persekutuan membatalkan bidang kuasa mahkamah ke atas perkara sedemikian, sekali gus menyebabkan kebenaran tidak boleh diberikan.

Bagaimana peguam mewakili tiga responden terbabit membalas penghujahan itu dengan berkata, syarat ambang bagi memulakan semakan kehakiman di peringkat ini adalah rendah.

Peguam Gurdial Singh Nijar, Christopher Leong dan Abdullah Abdul Rahman mewakili Salahuddin, Johari dan Aziz.

Peguam kerajaan terdiri daripada Suzana Atan, S Narkunavathy, Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Mazlifah Ayob.

Abdul Rashid Ismail merupakan peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam.

Cabaran undang-undang sama yang difailkan terhadap kerajaan dan Muhyiddin dijadual didengar di Mahkamah Tinggi pada bulan ini dan April.

Hanipa persoal tindakan polis siasat Anwar rayu Agong batal darurat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker