Dua pelajar didakwa pakai baju hina guru

KOTA BHARU – Dua remaja yang gambar mereka menaiki motosikal tular di media sosial baru-baru ini mengaku bersalah atas pertuduhan memakai baju dengan lambang dan tulisan yang menghina atau lucah di Mahkamah Majistret di sini hari ini

Kedua-dua tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memakai baju yang mempunyai tulisan bermaksud menghina atau lucah sehingga mengganggu keamanan setempat kerana dipakai di tempat awam.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di Bulatan Chempaka di sini kira-kira pukul 4 petang pada 3 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, S. Gayathri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Abd. Rahman.

Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM100 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dan hukuman terhadap mereka akan diputuskan pada 22 Jun depan selepas menunggu laporan akhlak.

Kedua-dua tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan.

Baru-baru ini, tular gambar tiga pelajar lelaki dipercayai selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menaiki dua buah motosikal dengan salah seorang daripada mereka tidak memakai topi keledar.

Paling biadab, penunggang dan pembonceng yang menaiki dua buah motosikal berasingan menconteng belakang baju sekolah mereka dengan kata-kata kesat memaki hamun guru.-K!ONLINE

Netizen kecam pelajar SPM biadab

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker