Isu kalimah Allah: Perpecahan umat Islam negara jadi punca


PERPECAHAN dan tidak sehaluan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di negara ini dikatakan menjadi punca kepada isu kalimah Allah.

Sebaliknya, penganut agama Kristian pula dilihat bersatu dalam memperjuangkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab suci mereka.

Penyatuan yang dilakukan oleh masyarakat Kristian itu terbukti apabila Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka dan juga agama lain.

Keputusan berkenaan dilihat memberikan impak yang sangat besar kepada keseluruhan umat Islam di Malaysia.



Ini kerana Islam merupakan agama persekutuan di negara ini seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pihak kristian sangat bersatu dalam memperjuangkan penggunaan kalimah Allah tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Sedangkan masyarakat Islam terutama golongan pemimpin pula telah berjaya dipecahkan dan terbahagi kepada empat golongan.

“Pertama, kumpulan yang mempertahankan kalimah Allah tidak boleh diguna oleh pihak kristian.



“Kedua, kumpulan yang membenarkan kalimah Allah digunakan dengan memberikan apa sahaja dalil yang membenarkan.

“Ketiga, kumpulan yang semakin keliru dan tidak tahu untuk mana yang benar kerana terdapat dua puak yang saling membenar dan tidak membenarkan.

“Keempat pula, kumpulan yang tidak peduli tentang apa yang berlaku asalkan boleh hidup dengan senang dan mewah.”

Demikian kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, hari ini melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.



Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa orang Kristian di seluruh negara dibenar menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan keagamaan mereka untuk tujuan pendidikan.

Keputusan tersebut memeranjatkan semua pihak termasuk Muafakat Nasional (MN) untuk merujuknya ke Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, Aziz Jamaludin menambah, masih belum terlambat untuk terus memperjuangkan isu berkenaan.

Bagaimanapun, usaha tersebut memerlukan kesepakatan seluruh umat Islam di negara ini kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.



“Kita masih ada lagi mahkamah rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

“Semua pemimpin Islam mestilah bersatu di dalam Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mempertahankan kalimah Allah dari digunakan oleh Kristian.

“Gunakan sahaja fasiliti dan kelebihan yang kita ada termasuk pengaruh dari Majlis Raja Raja Melayu dan organisasi bukan kerajaan (NGO) Islam.

“Justeru, kami dari Putra menyeru kepada warganegara Malaysia terutamanya golongan muslim untuk bersama-sama kami di dalam memperjuangkan isu ini.



“Kami akan berusaha segenap daya kami mencari jalan dengan apa cara jua yang dibenarkan untuk berjuang supaya kalimah Allah ini tidak akan berjaya untuk digunakan di dalam kitab Bible mereka.

“Kerana kami tahu permintaan mereka bukanlah untuk memudahkan supaya penganut agama mereka akan menjadi lebih memahami kitab Bible mereka.

“Akan tetapi ia hanyalah lebih kepada untuk menambahkan kekeliruan kepada masyarakat muslim terutamanya generasi akan datang,” ujarnya. SM

Umno, PAS bangkit isu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kalimah ‘Allah’



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker