Berang isteri tidak pulang, penganggur bakar kereta saudara


Polis menahan seorang penganggur dipercayai membakar sebuah kereta milik saudara lelakinya di Jalan Indah 4/1, Taman Bukit Indah, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berumur 47 tahun itu ditahan di Jalan Indah 5/5, di kawasan perumahan sama, susulan laporan yang dibuat mangsa berumur 22 tahun tersebut.

“Berdasarkan laporannya, mangsa yang berada di dalam rumah ketika itu, memaklumkan beliau terdengar penggera keretanya berbunyi pada kira-kira 6.30 pagi dan apabila melihat keluar rumah, didapati kereta Proton Saga miliknya terbakar di bahagian tayar kiri,” kata Dzulkhairi dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dzulkhairi mangsa dikatakan cuba memadamkan kebakaran tersebut, namun gagal dan menyebabkan api merebak ke bahagian lain keretanya.



Beliau berkata, mangsa turut memanggil pihak bomba bagi memadam kebakaran dan api berjaya dipadamkan, namun keretanya rosak teruk.

Dzulkhairi berkata, berpandukan maklumat daripada mangsa, polis berjaya menahan suspek yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan rompak.

“Hasil siasatan, penganggur itu mengaku membakar kenderaan terbabit kerana tidak puas hati terhadap isterinya yang tidak pulang ke rumah sejak 1 Mac lepas kerana perselisihan faham,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. FMT



Belasah & tolak isteri dari kereta hingga jatuh , lelaki berusia 31 tahun ditahan polis

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker