Zahid buat laporan polis berhubung mesej tular tuduhan jenayah terhadapnya



Sebaran :

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah membuat laporan meminta polis menyiasat mesej tular tempoh hari kononnya akan ada lebih banyak tuduhan jenayah akan dikenakan terhadap dirinya.

Perkara itu didedahkan oleh peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Pooh Teik ketika prosiding pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

 

“Kami mempertikaikan kandungan nombor enam dalam mesej yang mendakwa lebih banyak tuduhan yang akan dikemukakan terhadap anak guam kami.



“Pembelaan juga telah membuat laporan polis berkenaan hal ini dan mahu pihak berkuasa menyiasat tentang kebenaran dakwaan berkenaan.

“Kedua-dua pihak tertuduh dan pembelaan mempunyai keyakinan yang penuh terhadap Yang Arif,” katanya.

Antara kandungan mesej yang tersebar itu ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta Ketua-ketua Bahagian Bersatu untuk bersiap sedia dengan Pilihan Raya Umum (PRU) antara Jun dan Julai tahun ini.

Selain itu, ia mendakwa, akan ada pertuduhan yang lebih keras terhadap pimpinan kanan UMNO, dan akan digunakan sebagai ‘rundingan’ untuk melembutkan parti itu.



Penyebaran mesej itu juga mendakwa, pasukan khas akan ditubuhkan untuk memujuk UMNO agar terus bersama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional menjelang PRU akan datang.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan penyebaran maklumat berhubung initipati Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, bertarikh 4 Mac 2021 melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, segala maklumat yang terkandung dalam sebaran tersebut adalah tidak benar dan palsu.

Selain itu, Ahli Parlimen Larut itu berkata, maklumat yang disebarkan itu tidak mempunyai kaitan sama sekali terhadap mana-mana mesyuarat MPT yang telah berlangsung.



Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi, iaitu 12 membabitkan pecah amanah jenayah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagi pertuduhan wang haram, dia dituduh menerima cek bernilai puluhan juta daripada pelbagai pihak menerusi Lewis & Co, dengan sebahagian besar daripada jumlah itu digunakan untuk penempatan simpanan tetap bawah nama firma berkenaan.

Prosiding sedang berjalan ketika ini. -MG




Sebaran :


Leave a Reply