[VIDEO]Jenazah diusung semula dari kubur ke hospital



Sebaran :

BACHOK: Seorang lelaki yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan malam tadi sepatutnya dikebumikan jam 11 pagi ini, namun jenazahnya terpaksa diusung semula dari tanah perkuburan ke rumahnya di Kampung Pak Badol, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham Che Azhar Che Lah, 51, terpaksa dibawa semula ke hospital dan menjalani bedah siasat dipercayai disebabkan kesilapan pihak hospital yang tersilap membuat laporan mengenai punca kematian mangsa.

Difahamkan, pihak hospital menyatakan punca kematian akibat serangan jantung dan tidak memaklumkan kemalangan menyebabkan timbul salah faham.



Adik arwah, Cik Siti Aishah, 42, berkata surat permit kubur selain urusan memandi serta mengkafankan jenazah diuruskan oleh pihak hospital, namun sebaik semua urusan selesai untuk pengebumian, timbul kekeliruan untuk membuat laporan kepada polis.

“Pada ketika itu, saya sudah berasa pelik, namun kami sekeluarga akur kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan disebabkan itu jenazah terpaksa dibawa balik semula ke rumah kerana tidak mahu merumitkan keadaan.

“Lebih menyedihkan lagi, arwah terpaksa dibawa semula ke hospital berkenaan dan perlu menjalani bedah siasat sebaik polis hadir ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Simpang Tiga Pak Badol, di sini, hari ini.



Menceritakan kejadian pada malam tadi, Cik Siti Aishah berkata, arwah abangnya keluar jam 9.45 malam tadi dengan menunggang motosikal untuk membuang ke tempat pembuangan sampah yang terletak 20 meter dari rumah.

“Bagaimanapun, seminit selepas arwah keluar, saya yang pada ketika itu sedang menyiapkan burger untuk pelanggan, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman yang kuat dan bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat arwah terbaring kaku serta berlumuran darah di kepala.

“Orang awam yang berada di situ kemudiannya menghubungi ambulans di klinik berdekatan, namun tidak ada kekosongan menyebabkan arwah terpaksa di bawa ke salah sebuah hospital di Pasir Puteh dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.12 pagi tadi.



“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan mendoakan semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Insya-Allah selepas segala urusan selesai, arwah akan segera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serdang Muda Pak Bodol,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Mohd Yusrizal Mohd Ghazali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut itu.



Terdahulu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Jelawat Abdul Aziz Kadir turut hadir menziarahi jenazah.


Sebaran :


Leave a Reply