Al-Fatihah: Ibu Sayu Lihat Jenazah Surya Diusung Keluar Rumah [Video]

Share
Kuala Terengganu: Semalam dia melihat mayat anaknya Siti Nur Surya Ismail, 19, terbujur kaku selepas dibunuh dengan kejam di depan mata di ruang tamu rumah.

Hari ini pula, wanita berkenaan hanya mampu melihat jenazah anaknya diusung keluar dari ruang tamu untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Dua peristiwa menyayat hati itu dilalui Zaini Musa, 55, dari atas katil berikutan tidak mampu bergerak akibat kanser otak tahap tiga yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

 

Ismail berkata sesuatu kepada isterinya, yang terlantar di katil kerana menghidap kanser otak tahap tiga sebaik jenazah diusung keluar dari rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong. FOTO ZAID SALIM
Ismail berkata sesuatu kepada isterinya, yang terlantar di katil kerana menghidap kanser otak tahap tiga sebaik jenazah diusung keluar dari rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong. FOTO ZAID SALIM

 

Penyakit dihidapi wanita itu menyebabkan dia tidak mampu bercakap seperti biasa.

Sebaik jenazah diusung keluar dari ruang tamu rumah kira-kira 6.30 petang, suami wanita itu, Ismail Muda, 58, memberitahu apa yang berlaku.

Ismail turut memalingkan muka isterinya ke arah keranda yang menempatkan jenazah anak perempuan mereka, namun Zaini sekadar melihat tanpa sebarang kata.

 

Nur Liyana Syuhada menyiram air di pusara kakaknya. FOTO Ghazali Kori
Nur Liyana Syuhada menyiram air di pusara kakaknya. FOTO Ghazali Kori

 

Suasana penuh kepiluan itu menyebabkan Ismail dan beberapa anaknya serta mereka yang berada di ruang tamu tidak dapat menahan rasa sedih.

Jenazah Siti Nur Surya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, di sini, pada 8.15 malam tadi.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong, di sini, dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira 6.30 petang.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke masjid di kampung itu untuk disembahyangkan selepas solat Maghrib.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan yang turut dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan.

 

Ismail menahan kesedihan ketika pengebumian anaknya. FOTO Ghazali Kori

Ismail menahan kesedihan ketika pengebumian anaknya. FOTO Ghazali Kori

Sumber : Harian Metro

Bapa tak percaya rakan sekolah bunuh Surya

Leave a Reply