Suntikan vaksin ‘Covid-19’, lebih tiga juta sudah mendaftar
KUALA LUMPUR: Lebih tiga juta individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui aplikasi MySejahtera setakat petang tadi.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam Twitternya memaklumkan, seramai 3,224,641 individu sudah mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 itu sehingga jam 3 petang.
Sehingga semalam, seramai 127,608 individu, majoritinya membabitkan petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin bagi fasa pertama pelalian di seluruh negara.
Berikut Adalah Cara-Cara Untuk Mendaftar V4ksin COV1D-19 Dengan Kemas Kini Terkini MySejahtera
Berdasarkan jumlah itu, Sarawak merekodkan penerima tertinggi dengan 18,034 individu, disusuli Pahang (13,830), Selangor (11,982), Kelantan (11,680), Kuala Lumpur (11,266), Johor dan Sabah, masing-masing (9,515), Kedah (5,414) serta Pulau Pinang (5,172).
Selain melalui MySejahtera, orang ramai turut boleh mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19 melalui laman web JKJAV di www.vaksincovid.gov.my atau menghubungi Talian Pendaftaran Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di 1800-888-828.
Program itu dilancarkan pada 24 Februari lalu, dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia mendapat suntikan imunisasi berkenaan.