Pas mahu satukan UMNO, Bersatu



Sebaran :

 

PENDANG: Pas konsisten dalam usaha memastikan penyatuan ummah dalam Muafakat Nasional (MN) di sebalik pergolakan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, parti itu akan menggunakan pelbagai kaedah dan terus istiqamah untuk kembali menjalinkan hubungan antara kedua-dua parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pas konsisten dalam memperkukuhkan hubungan MN dan terus pertahankan kerajaan Perikatan Nasional. Semua pemimpin komited dan akan berusaha mempertahankan ummah ini.



“Penyatuan ummah ini penting. Bila kita berpecah macam-macam terjadi walaupun kita majoriti namun bila berpecah akan mengurangkan kekuatan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Suntikan Vaksin Covid-19 Barisan Hadapan Pendang di Dewan Cenderawasih di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.



Mengulas lanjut katanya, parti itu yakin penyatuan semula antara UMNO dan Bersatu bukan mustahil berpandukan semangat setiakawan dan penyatuan umat Islam di negara ini.

“Biasalah dalam keluarga ada perbezaan pendapat namun kesudahannya kita dapat selesaikan.

“Sebelum bersatu itu adalah cabaran dan biasalah sebagai pemimpin tentu ada cabaran dan kita akan berusaha dan istiqamah. Kita guna kaedah macam mana nak damaikan umat Islam ini sebab kalau kita berpecah banyak rugi daripada untungnya,” katanya.



Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak bekerjasama pada PRU-15.

Surat bertarikh 26 Februari itu juga menyatakan kebersamaan UMNO dengan kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :


Leave a Reply