UMNO jangan buang masa layan Mahathir, satukan Melayu lagi bagus

Cuba ingatkan kembali fakta-fakta ini;

Pada 1988, UMNO diharamkan. Ia lanjutan pertarungan merebut jawatan Presiden pada 1987. Akibatnya tertubuhnya Parti S46.

Pada 1998, UMNO berpecah lagi, apabila Timbalan Presiden parti itu dipecat atas alasan ‘ada masalah moral’ Setahun kemudian PKR ditubuhkan. Pada Mei 2008, individu ini umum keluar UMNO kerana tak berpuas hati dengan kepemimpinan parti.

Berikutan serangan ke atas kepemimpinan UMNO yang menerajui kerajaan ketika itu, UMNO hampir hilang kuasa. Sejak tahun itu hingga hari ini BN hilang majoriti dua pertiga.

Pada 4 April 2009, ambil langkah kembali ke dalam UMNO dengan menegaskan kritikan sebelum ini bukannya nak hancurkan UMNO. Pada 29 Februari 2016 – Individu ini buat perangai lagi, umum keluar UMNO. Kali ini dia sendiri tubuh parti iaitu Bersatu.

Pada Mei 2018 – Individu ini yang sanggup berbaik-baik dan tunduk kepada musuh-musuh politiknya bersekongkol menjatuhkan pemerintahan 61 tahun UMNO dan BN.

Pada 2020 – Orang ini menubuhkan sebuah lagi parti atas alasan tidak mahu bersekongkol dengan ‘penyangak’ walaupun ketika itu sudah terbuka luas penyatuan ummah apabila tiga parti Melayu bergabung menubuhkan kerajaan PN.

Siapa individu ini? Semua orang tahu, itulah Tun Dr.Mahathir Mohamad yang ketika ini mewujudkan keghairahan dan keterujaan dalam kalangan sesetengah ahli UMNO apabila beliau menyatakan kesediaan untuk kembali ke parti itu dengan syarat UMNO memperjuangkan dasar asal demi bangsa, agama dan negara.

Aneh, tiada siapapun menjemput, tiada siapa mempelawa, alih-alih beliau pula ‘meletakkan syarat’. Tetapi malangnya masih ada dalam kalangan ahli UMNO yang percaya bahawa ahli politik berusia 96 tahun itu yang semakin tiada kawan dan sekutu politik ini harus dijemput kembali ke dalam UMNO kononnya disebabkan bekas Perdana Menteri itu masih sayangkan UMNO dan bangsanya.

Hujah mereka lagi UMNO perlu memikirkan masa depan orang Melayu dan mengetepikan kepentingan diri dan jawatan mereka, dan paling seronok masih ada yang percaya bahawa Dr.Mahathir boleh membantu UMNO menang pilihan raya akan datang.

Sebagai orang Melayu, kita amat ingin semua orang Melayu bersatu, kita juga tidak mahu melihat UMNO terus lemah atau dilemahkan. Tetapi kalau betul Dr.Mahathir mempunyai fikiran yang sama dan masih sayangkan UMNO, beliau tidak akan bertindak bukan sahaja memporak-perandakan UMNO tetapi juga menyebabkan kuasa politik orang Melayu lemah apabila UMNO hilang kuasa.

Kita bersetuju sedikit sebanyak UMNO adalah masalah, kita akui sesetengah pemimpin UMNO ‘kelabu mata’ apabila sudah berkuasa dan merasakan mustahil parti itu akan menjadi pembangkang. Tetapi ia bukan alasan untuk meruntuhkan UMNO seperti mana dilakukan oleh Dr.Mahathir.

Jika betul Dr.Mahathir sayangkan UMNO, kenapa beliau bersedia bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk meranapkan UMNO. Sayang kategori apakah ini? Kalaulah UMNO itu manusia, adakah kerana sayang kita pukul sampai cedera parah atau mati , atas alasan untuk menyelamatkannya?

Kenapakah baru sekarang Dr.Mahathir bercakap soal masih sayangkan UMNO? Sebagai seorang pemimpin yang dianggap hebat dan masih disanjung oleh sebahagian ahli UMNO, tak kanlah Dr.Mahathir tidak fikirkan kesannya ketika melakukan gerakan bersama pembangkang bagi menghancurkan kuasa pemerintahan UMNO.

Tak kan beliau yang disanjung sebagai ‘mahaguru’ politik tidak boleh fikir akibatnya kepada kuasa politik orang Melayu? Usahlah berhujah, demi menyatukan orang Melayu, Dr.Mahathir harus kembali ke dalam UMNO, semua itu bak kata orang Jawa, ‘’ ini comedy of errors’’.

Kerana Dr.Mahathir lah, sejak 1988 UMNO ‘ melahirkan’ tiga parti serpihan, S46, PKR dan Bersatu, malah Dr.Mahathir jugalah menambah parah lagi perpecahan Melayu apabila menubuhkan satu lagi parti iaitu Pejuang. Jadi apa rasionalnya mahu menerima kembali Dr.Mahathir ke dalam UMNO?

Sudah terlalu lambat untuk menggunakan khidmat Dr.Mahathir bagi menyatukan orang Melayu. Lagipun soal menyatukan orang Melayu bukan terletak kepada Dr.Mahathir sahaja. Parti-parti Melayu sudahpun membuktikan mereka boleh bersatu biarpun tanpa Dr.Mahathir.

Kesepakatan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional pada 14 September 2019 disusuli pula pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) enam bulan kemudian atau pada Mac 2020, adalah buktinya.

Apa yang harus dilakukan ialah mempertahankan permuafakatan dan kerjasama tersebut demi penyatuan orang Melayu dan kuasa politik Melayu, bukannya terus mahu melakukan kerja sia-sia kerana terpegun dengan ‘pengakuan politik’ Dr.Mahathir bahawa beliau masih sayangkan UMNO.

Sampai bila mahu membiarkan Dr.Mahathir menjadi pencatur arena politik negara, sampai bila mahu terperangkap dengan pandangan lapuk bahawa Dr.Mahathir boleh mencetuskan penyatuan Melayu. Cukup, cukuplah. Di Malaysia ini, ia bukan berkisar soal Dr.Mahathir sahaja.

Peluang untuk menyatukan orang Melayu sudah pun ada, harapan untuk memastikan UMNO terus berkuasa sudahpun terbuka melalui Muafakat Nasional dan bersama menguruskan negara melalui PN. Tetapi masalahnya dalam pemimpin UMNO, mereka lebih mementingkan kuasa dan kedudukan.

Mereka tidak mahu lagi bekerjasama dengan Bersatu kerana mendakwa dilayan secara tidak adil atau dianaktirikan, ada pula sesetengah pemimpin itu, buatlah macam mana pun tetap tolak Bersatu sebab sejak awal lagi mereka sudah ada sentimen terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Keadaan lebih rumit, apabila mereka merasakan UMNO boleh menang selesa dalam pilihan raya umum. Penulis tidak pasti macam mana mereka membuat congakan tersebut, tetapi yang pasti kalau UMNO berjuang sendirian, belum tentu mereka akan menang besar. Kecualilah kalau-kalau ada hasrat untuk menubuhkan ‘jajaran baharu’ tanpa melibatkan Bersatu dan Pas selepas PRU-15.

Namun kalaulah kemasukan Dr.Mahathir dikaitkan boleh menyatukan orang Melayu sedangkan beliau sendiri menyebabkan Melayu berpecah. Kalaulah kehadiran individu yang ‘keluar masuk’ UMNO itu boleh dikatakan boleh menguatkan UMNO sedangkan beliau sendiri melemahkan UMNO.

Dan kalaulah kembalinya insan yang bertanggungjawab menyebabkan UMNO hilang kuasa selepas 61 tahun itu dikatakan akan memberikan kebaikan kepada parti itu sedangkan beliau sendiri yang memungkinkan imej UMNO hancur berkecai dengan ‘ratib parti yang disertai oleh penyangak, penyamun dan pencuri’ – rasanya UMNO memang ada masalah.

Kesimpulannya, tak payahlah bercakap soal penyertaan Dr.Mahathir ke dalam UMNO kerana ia hanya membuang masa. Fikirkanlah, dengan mencatatkan ‘rekod hebat’ 2 kali menjadi Perdana Menteri bagi tempoh 22 tahun dan 22 bulan dengan 2 gabungan berbeza dan di 2 kawasan Parlimen berlainan, menubuhkan 2 parti dan ‘menyingkirkan’ 2 Perdana Menteri tak kanlah pakatan tersebut akan membiarkan Dr.Mahathir ‘keseorangan’

Lagipun jasa Dr.Mahathir kepada pakatan itu bak kata orang ‘bukan kecil anak’. Dr.Mahathir bertanggungjawab memungkinkan DAP menjadi kerajaan selepas berpuluh-puluh tahun berjuang, Dr.Mahathir membantu PKR melahirkan dua Timbalan Perdana Menteri yang juga suami isteri ( Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail).

Dr. Mahathir juga berjasa apabila memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang suatu ketika memaki hamunnya menjadi menteri.
Dengan rentetan itu pasti ada sebab kenapa Pakatan Harapan sudah tidak mahu lagi bersama Dr.Mahathir, tetapi tiba-tiba ada ahli UMNO mahu parti tersebut ‘ambil balik’ Dr.Mahathir…peliknya.-UTV

2 thoughts on “UMNO jangan buang masa layan Mahathir, satukan Melayu lagi bagus

  • February 21, 2021 at 15:09
    Permalink

    sial lahanat tu nak UMNO sambut dia masuk balik dengan bentang karpet merah
    anak takde masa depan & tak laku untuk dijadikan PM kalau terus berada diluar
    tentulah syarat utama presiden UMNO kena pastikan anaknya menang jadi naib presiden
    syarat lain tentulah kroni2 bapak & anak dijamin dapat kontrak kerajaan

    Reply
  • February 22, 2021 at 14:35
    Permalink

    Dari sudut pandangan saya….Dr. M tidak perlu diterima semula masuk sertai UMNO kerana sudah terbukti dia banyak merosakan UMNO. Menerima dia adalah satu KESILAPAN BESAR.

    Reply

Leave a Reply