Cukup-cukuplah Tun, izinkanlah Melayu bersatu

BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila Pengerusi Bersatu Tun Dr. Mahathir Mohamad ‘melompat’ apabila UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama secara rasmi.

Hujah pemimpin politik berusia 94 tahun tersebut, kerjasama antara kedua-dua parti itu adalah usaha mengembalikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang didakwa dilakukan bekas Perdana Menteri itu.

Entah dari mana Dr. Mahathir mendapat idea untuk berhujah demikian sedangkan Najib bukan lagi berada dalam UMNO apatah lagi Pas.

Tetapi tidak mengapalah itu hak beliau untuk memberi pandangan walaupun boleh dipersoalkan lagipun sejak bila pula Dr.Mahathir pernah berkata baik tentang UMNO selepas meninggalkan parti itu.

Malah kalau dikaji selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dahulu Pas tidak pernah terlepas menjadi sasaran serangan beliau.

Bacalah teks ucapan sepanjang beliau menjadi Presiden UMNO, ‘membelasah’ Pas sudah menjadi salah satu point penting beliau, DAP pun tidak pernah begitu teruk diserang oleh Pengerusi Bersatu tersebut.

Tetapi itu dulu, sepatutnya sekarang dalam keadaan (kononnya) Malaysia melangkah ke arah lebih terbuka di dalam era Malaysia Baharu sepatutnya Dr.Mahathir lebih terbuka.

Tidak mengapa kita faham, selagi berkawan dengan DAP dan kedudukan politik pun dilihat bergantung kepada DAP, Bersatu tidak boleh bercakap banyak soal penyatuan Melayu dan agama Islam tetapi janganlah dengki bila UMNO-Pas bekerjasama.

Janganlah sampai Dr. Mahathir dilihat tiada bezanya dengan DAP yang gelabah tidak tentu hala bila UMNO dan Pas berpakat.

Cukup,cukuplah Tun, izinkanlah orang Melayu bersatu. Jangan lupa siapakah yang dituduh bertanggungjawab memecah belahkan orang Melayu kerana politik.

Jangan lupa sejarah kewujudan PKR,Parti Melayu Semangat 46 dan Bersatu. Siapa yang bertanggungjawab memungkinkan kesemua parti ini muncul yang akhirnya bukan sahaja memecah belah orang Melayu tetapi juga melemahkan kuasa politik mereka.

Sebagai seorang pemimpin yang sering sebak dan menitis air mata apabila mengenang nasib bangsa Melayu, Dr.Mahathir sepatutnya mengalu-alukan kerjasama UMNO-Pas.

Ia kerana apapun sedikit sebanyak tindakan itu akan menguntungkan orang Melayu.

Kita faham Bersatu mungkin tak perlu undi orang Melayu kerana pengundi-pengundi lain boleh beri sokongan tetapi janganlah halang UMNO-Pas melakukan langkah ke arah perpaduan ummah.

Dr.Mahathir yang disanjung sebagai pemimpin Melayu yang cukup hebat sepatutnya perlu berjiwa besar mengizinkan usaha menyatukan orang Melayu dilakukan oleh mana-mana pihakpun dan bukannya melakukan tindakan atau membuat kenyataan sehingga dianggap penghalang perpaduan ummah hingga akhir hayat. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker