Anwar jemput SPRM bertemu jika mahu tahu ‘Rahsia Umum’ pegawai kerajaan yang korup



Sebaran :

 

PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengajak pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk datang berjumpa dengan beliau sekiranya suruhanjaya itu memerlukan bantuan untuk menyiasat “rahsia umum” pegawai kerajaan yang korup.

Bercakap kepada media selepas acara kawasan Parlimen di Port Dickson, beliau berkata suruhanjaya itu tahu akan berpuluh-puluh laporan tetapi tiada tindakan dibuat.

“Kalau SPRM kata dia telus, saya nak tanya, apa yang berlaku kepada puluhan laporan yang melibatkan menteri-menteri yang mewah, yang belanja terang-terang jutaan ringgit yang menyogok orang,” katanya. “Maklumat ini sudah disampaikan dan laporan polis sudah dibuat…tetapi saya mahu ini dibuktikan dengan tindakan.



“Ini rahsia umum. Kalau ia tidak diketahui oleh SPRM, saya persila mereka datang jumpa saya, saya boleh bincang. Jadi, kita kena hentikan budaya ini bahawa budaya rasuah itu hanya dalam kalangan pembangkang.”

Terdahulu, SPRM memohon Ahli Parlimen Sekijang Natrah Ismail membuat aduan, susulan dakwaannya cuba dipujuk dua individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri supaya memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Anwar, yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan, juga mengkritik bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa kerana mendakwa kepemimpinan Umno dipengaruhi oleh Anwar. Katanya, Annuar dilihat terdesak, dan hanya berusaha untuk “menjaga jawatan” sebagai menteri wilayah persekutuan.



Kenyataan Annuar Musa itu menyusul selepas Anwar dan pengerusi Barisan Nasional serta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan sama pada Khamis yang menggesa Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan mesyuarat Parlimen. (Bagaimanapun, ahli BN MCA, MIC dan PBRS berkata gabungan itu tidak pernah menyokong kenyataan demikian.)

Sebagai respon, Anwar berkata: “Dia nampak terdesak. Saya ingat politik dia itu hanya untuk menjaga jawatan menteri dia. Dia tak peduli parti dia, dia tak peduli dia cakap benar atau tidak.”


Sebaran :


Leave a Reply