Kerajaan diminta benarkan jemaah lakukan umrah bermula April — MYKMU.NET

Kerajaan diminta benarkan jemaah lakukan umrah bermula April

Sebaran :

Kerajaan diminta untuk memberikan kebenaran kepada rakyat Malaysia yang mahu menunaikan ibadah umrah seawal pada April tahun ini.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, permintaan tersebut dilakukan dengan mengambil kira bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang tamat pada bulan ini.

“Kenapa bulan April? Ia berpandu kepada PKP yang tamat pada 4 Mac 2021.

“Jadi, kalau boleh kita minta kerajaan untuk mula membuka sempadan bagi jemaah pergi umrah pada masa tersebut ataupun pada bulan Ramadan ini iaitu pertengahan April,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berlepas ke Arab Saudi untuk memulakan lawatan rasminya ke beberapa negara di Asia Barat.



Mengulas mengenai lawatan tersebut, Razali berkata, beliau berharap agar kunjungan Perdana Menteri ke Arab Saudi itu dapat membuka mata kerajaan terhadap keadaan di sana dan seterusnya membenarkan rakyat Malaysia untuk menunaikan haji serta umrah.

Menurutnya, kerajaan perlu lebih terbuka dalam hal tersebut kerana kerajaan Arab Saudi telah pun membenarkan kemasukan jemaah Malaysia sejak November tahun lalu.

“Dengan lawatan tersebut, saya minta Perdana Menteri melihat sendiri keadaan di sana dan minta bukalah sempadan untuk orang buat ibadah (umrah).

“Ini kerana Arab Saudi dah lama buka daripada 15 November 2020 untuk Malaysia, kita sahaja yang tidak hantar.



“Jadi kita harap apabila Perdana Menteri pergi dan tengok sendiri keadaan di sana dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya, beliau akan buka sempadan dan membenarkan jemaah Malaysia pergi umrah dan haji,” katanya.

Mengulas mengenai peraturan baharu yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi dalam mewajibkan pengambilan vaksin terhadap jemaah haji dan umrah, Razali berkata, beliau menyokong penuh keputusan tersebut.

Begitupun, beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu melakukan sedikit perubahan terhadap pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sekiranya mahu membenarkan jemaah Malaysia melakukan umrah dan haji pada tahun ini.

“Jadi kita minta kerajaan pertimbang dan cari cara bagaimana nak selesaikan masalah ini di mana jemaah dah ada visa untuk buat umrah tetapi mereka masih tidak dapat pergi kerana tidak ada vaksin.



“Untuk itu, kita minta kerajaan dapat memberi kebenaran kepada pihak swasta untuk memberikan vaksin Covid-19.

“Ini kerana kalau ikut program vaksinasi kerajaan, kita akan mengambil masa sampai tahun depan,” katanya.


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: