Agenda DAP bukan rahsia lagi

Rakyat seharusnya sedar bahawa segala agenda tersembunyi DAP bukan lagi rahsia.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, rakyat tidak perlu berkompromi dalam soal ini kerana politik sebenar bukan sekadar berlakon atau bersandiwara.

“Kalau itu bahaya kata bahaya dan kalau itu harus ditentang, perlu ditentang. Ini kerana dasar bertulis DAP adalah parti sosialis yang memperjuangkan kesamarataan seperti Singapura.

“Ini bukan Singapura tetapi ini adalah Malaysia, negara ini menempatkan semua kaum dan saling menghormati dan kita telah membuktikan formula ini yang telah mensejahterakan negara bukan formula DAP,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Manifesto Khas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Ketereh di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai pengakuan ahli se­umur hidup DAP, Amran Ahmad yang mendedahkan bahawa parti itu sengaja memburuk-burukkan ke­rajaan BN termasuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta keluarganya dengan matlamat untuk meracuni pemikiran rakyat.

Dalam pada itu, Annuar yang juga calon BN parlimen Ketereh berkata, orang Melayu dan Islam harus bergabung tenaga menentang DAP.

“Menentang DAP wajib selagi DAP tidak menuntut maaf dengan orang Islam dan selagi DAP tidak menyatakan mereka tidak akan meneruskan agenda sosialis mereka.

“Ini bukan sebab DAP tetapi sebab dasar perjuanganya yang bercanggah dengan aspirasi Melayu dan orang Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply