Isu tulisan Jawi : Lim jumpa Dr Mahathir dua kali dalam tempoh 24 jam

Share


Selepas pertemuan lewat malam dengan wakil rakyat DAP berhubung langkah kontroversial berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil, setiausaha agung parti itu, Lim Guan Eng, pagi ini dilaporkan sekali lagi berjumpa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Ia adalah pertemuan kedua Mahathir-Lim dalam tempoh 24 jam.

Ketika dihubungi, seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri mengesahkan mesyuarat berlangsung pada jam 8.45 pagi di Putrajaya.

“Perdana Menteri berjumpa dengan menteri-menterinya secara individu dari semasa ke semasa, ini adalah pertemuan biasa,” kata jurucakap itu memberitahu Malaysiakini.

Dalam hantaran di Facebook pada jam 11.18 malam semalam, ketika mesyuarat DAP sedang berlangsung, Lim berkata beliau telah berjumpa dengan Dr Mahathir dan Menteri Pendidikan Maszlee Malek pada hari berkenaan.

“Saya mendengar pandangan wakil rakyat parti, aktivis masyarakat dan saya juga berjumpa perdana menteri dan menteri pendidikan hari ini (5 Julai). Akan keluarkan kenyataan rasmi kemudian,” katanya.

Bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, seorang sumber, yang hadir pada mesyuarat yang berakhir pada jam 1 pagi tadi, berkata Lim berjanji untuk menyampaikan pandangan yang dibangkitkan kepada Dr Mahathir dan Maszlee.

“Setiausaha Agung berkata beliau akan membawa semua pandangan kami kepada perdana menteri dan menteri pendidikan.

“Kami harap akan dapat mencari penyelesaian terbaik,” kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Walaupun pemimpin DAP enggan mendedahkan butiran pada mesyuarat malam itu, sumber lain mendedahkan bahawa beberapa pilihan dibincangkan.

Antaranya, kata sumber itu, adalah untuk menangguhkan perlaksanaan atau membuat pengenalan tulisan khat berkenaan sebagai satu pilihan.

Memandangkan Dr Mahathir akan memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Jepun mulai esok, Lim terpaksa berjumpa segera dengan Perdana Menteri mengenai isu berkenaan yang telah menyebabkan keretakan dalam DAP.

Sumber-sumber mendedahkan bahawa semasa mesyuarat di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur, mereka yang hadir, bergilir-gilir menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara itu.

Suasana mesyuarat, yang dipengerusikan oleh setiausaha penganjuran, Anthony Loke, walau bagaimanapun tidak tegang.

Setiausaha antarabangsa DAP, Teo Nie Ching, yang juga timbalan menteri pendidikan, terlebih dahulu menjelaskan isu itu kepada mereka yang hadir sebelum mereka diminta berkongsi pendapat masing-masing.

Sumber berkata Lim adalah yang terakhir untuk bercakap.

“Walaupun terdapat pendapat dan idea yang berbeza ditimbulkan, tidak ada kritikan langsung terhadap Teo (dalam kapasitinya sebagai menteri pendidikan),” kata sumber itu.

Mkini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *