Sumpah dianggap paksaan hanya jika ada unsur jenayah, kata peguam

 

Unsur paksaan hanya terpakai untuk membatalkan sesuatu perjanjian sekiranya ia membabitkan paksaan yang bersifat jenayah, kata peguam, Aidil Khalid.

Dia mengulas dakwaan Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mengaku ikrar sumpah setia yang dibuatnya tahun lalu terhadap Warisan diiringi janji untuk melepaskan jawatan jika dia mencurangi parti itu, adalah tidak sah kerana dibuat di bawah paksaan.

Kata Aidil, dia tidak berasakan kenyataan Hassan bahawa sumpah itu terbatal adalah betul daripada segi undang-undang.

“Dari segi undang-undang, keterpaksaan atau coercion hanya terpakai untuk membatalkan sesuatu perjanjian, jika sesuatu ikrar itu dibuat atas keterpaksaan yang bersifat jenayah.

“Contohnya jika persetujuan tidak diberikan, maka dia akan dicederakan, atau hartanya akan dirampas. Ini yang diperuntukkan di bawah seksyen 15 Akta Kontrak 1950.

“Seksyen 15 Akta Kontrak 1950 menakrifkan paksaan sebagai: melakukan apa-apa perbuatan atau mengancam untuk melakukan apa-apa perbuatan yang dilarang oleh Kanun Keseksaan, atau menahan secara tidak sah atau mengancam untuk menahan, apa-apa harta, dengan memudaratkan sesiapa jua, dengan niat menyebabkan seseorang itu membuat suatu perjanjian.

“Jadi Adun Sebatik tidak boleh dakwa bahawa dia terpaksa berikrar, hanya semata-mata kerana dia ingin dicalonkan. Dia bukan tiada pilihan.

“Kalau dia tidak bersetuju dengan syarat ikrar tersebut, sepatutnya dia bertanding bebas, atau parti lain. Dia ada kebebasan itu, jadi tidak wajar untuk kini mengatakan dia terpaksa atau ‘under duress’,” katanya lagi.

Kelmarin, Hassan mengaku sumpah setianya itu tidak sah kerana dibuat di bawah paksaan. Jelasnya, dia tidak akan dicalonkan sekiranya dia tidak bersetuju untuk bersumpah.

 

Khamis lalu, Hassan meninggalkan Warisan dan berjanji akan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN, dan Parti Bersatu Sabah.

Dia juga menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Dia turut menuduh Warisan mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

Susulan itu, Warisan menyerahkan surat peletakan jawatan Hassan yang ditandatangani 10 Sep – sebelum dia terpilih sebagai Adun – kepada Speaker Sabah Kadzim Yahya semalam, dan dijangka turut menyerahkannya kepada Gabenor Sabah Juhar Mahiruddin dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dia boleh dakwa apa saja. Mahkamah akan memutuskan apakah surat itu (surat peletakan jawatan yang ditandatangani sebelum ini) sah atau tidak,” kata Setiausaha Agung Warisan Loretta Padua.

Bagaimanapun, FMT melaporkan yang Kadzim mengesahkan bahawa Hassan telah menyerahkan akuan berkanun (SD) bagi menarik balik peletakan jawatannya semalam, dan mahu kekal sebagai Adun Sebatik.

Kadzim mengatakan bahawa dia perlu membincangkan perkara itu dari sisi undang-undang dengan Peguam Besar Negari Sabah sebelum membuat keputusan mengenainya.

Tuntutan ganti rugi

Sementara itu, Aidil menambah bahawa sekiranya ikrar sumpah setia Hassan sah di sisi undang-undang, dia berpandangan, Warisan hanya dapat menguatkuasakan terma perjanjian berkenaan menerusi tuntutan ganti rugi, dan bukan melalui pengosongan kerusi Sebatik.

Hal ini katanya, ekoran hak berparti – termasuk menukar parti, adalah hak berpersatuan yang dijamin perlembagaan, sedangkan negara belum mempunyai undang-undang antilompat parti atau anti beralih sokongan, yang terpakai untuk wakil rakyat.

Berkenaan surat peletakan jawatan Hassan pula, meskipun berpandangan nilai surat itu haruslah diputuskan oleh mahkamah atau speaker, namun baginya, isu yang harus dipertimbangkan ialah surat itu ditandatangani sebelum Hassan terpilih menjadi Adun.

“Dari segi undang-undang, seseorang itu tidak boleh memberikan persetujuannya sebelum dia mempunyai kapasiti atau kelayakan untuk memberikan persetujuan. Dengan kata lain, orang yang belum pun dilantik, tidak berhak untuk menandatangani surat peletakan jawatan.

“[…] Hanya speaker atau mahkamah yang boleh putuskan sama ada ia legally binding (mengikat secara undang-undang) atau tidak,” katanya lagi.

Dalam video yang tersebar selepas Hassan mengumumkan keluar Warisan, dia berikrar:

“[…] di hadapan Tuhan atau Allah, dan rakyat Sabah, saya akan setia kepada Parti Warisan Sabah jika saya terpilih sebagai Adun Sabah, seperti dinyatakan di atas, dan kekal setia sehingga pembubaran DUN Sabah.

“Saya tidak akan mengkhianati kepercayaan Parti Warisan Sabah terhadap saya dan juga kepercayaan dan harapan pengundi-pengundi terhadap saya.

“Sekiranya saya memilih untuk menyertai parti politik yang lain atau pun mengisytiharkan kesetiaan saya kepada parti politik lain atau pun mengisytiharkan diri saya sebagai bebas, sebelum atau selepas persumpahan masuk sebagai Adun Sabah sehingga pembubaran DUN Sabah, atau saya dipecat, atau diberhentikan sebagai ahli Warisan Sabah, saya akan meletak jawatan saya sebagai Adun Sabah.

“Dan untuk menunjukkan keikhlasan saya, saya dengan ini menandatangani surat peletakan jawatan saya yang akan dikemukakan kepada Speaker DUN Sabah dan Tuan Yang Terutama Dipertua Negeri Sabah, jika saya pecah ikrar kesetiaan saya ini.

“Saya membuat ikrar ini pada 10 hari bulan September 2020,” katanya dalam video itu.

Tiada pistol di kepala

Senada dengan Aidil, peguam Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar turut menyifatkan Hassan tidak boleh mendakwa dia membuat sumpah setia dan menandatangani surat peletakan jawatannya dalam keadaan terpaksa, kerana tiada unsur paksaan daripada segi undang-undang.

“Dia tak boleh cakap dia masuk tidak secara sukarela, kerana tiada pistol diletakkan di kepalanya (sebagai contoh), tiada pengaruh tidak wajar,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, isu Hassan boleh dibandingkan dengan saman RM10 juta PKR terhadap ahli parlimen dan Adun yang keluar parti, setelah menandatangani bon yang menyatakan persetujuan membayar jumlah itu jika mereka melakukan beberapa perkara, antaranya keluar parti, menyertai parti lain, menjadi wakil bebas selepas menang pilihan raya atas tiket PKR.

Dia turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap kes lompat parti, sama ada ia ada melibatkan “faedah lain” yang diterima wakil-wakil rakyat berkenaan.

“Betulkah dia nak berkhidmat pada rakyat (alasan keluar parti), atau ada faedah-faedah lain? Kalau ada faedah lain, SPRM kena masuk campur,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker