Arab Saudi: Jemaah haji wajib ambil vaksin Covid-19

Arab Saudi mewajibkan jemaah haji yang ingin menunaikan rukun Islam kelima itu untuk mengambil vaksin Covid-19, lapor portal Middle East Eye.

Menteri Kesihatannya, Tawfiq al-Rabiah menambah, vaksinasi akan diwajibkan bagi semua jemaah akan berhasrat untuk hadir menunaikan haji pada Julai kelak.

Rabiah tidak menjelaskan sama ada jemaah luar negara turut dibenarkan menunaikan haji.

Bagaimanapun, tegasnya vaksinasi menjadi syarat utama kesihatan kepada bakal jemaah untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan sekiranya berkemampuan.

Pada 15 Feb lalu, Atase Agama Arab Saudi ke Malaysia, Sheikh Abdul Rahman Al-Rubaian berkata kerajaan Penjaga Dua Masjid Suci itu dijangka mengadakan perbincangan berkenaan kuota haji dan umrah bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Perbincangan antara dua negara mengenai kuota haji dan umrah pada tahun ini bakal berlangsung dalam masa terdekat apabila Arab Saudi menerima kunjungan rasmi perdana menteri Malaysia serta Menteri Luar Negeri (Hishammuddin Hussein) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Agama (Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri),” katanya, lapor Bernama.

Setiap tahun, dianggarkan seramai 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia yang akan menunaikan ibadah haj di Mekah.

Susulan wabak Covid-19 tahun lalu, Riyadh mengehadkan jumlah jemaah haji.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker