Cari punca ribuan ikan mati di Sungai Ketil

 

MOHD. Syahbuddin Hashim (kanan) meninjau kawasan Sungai Ketil di Taman Rekreasi Rimba Wangi, Taman Wangi, Gua Musang, Kelantan yang didakwa berlaku pencemaran

GUA MUSANG: Ribuan bangkai ikan pernah ditemukan terapung di permukaan Sungai Ketil, dekat Taman Rekreasi Rimba Wangi, Taman Wangi di sini tiga minggu lalu.

Tiga hari lalu, kejadian sama berulang dan orang ramai mengesyaki kematian ikan secara misteri tersebut berpunca daripada pencemaran di kawasan hulu sungai.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Wangi, Ri­zal Ghazali berkata, situasi itu mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan kerana Sungai Ketil sebelum ini merupakan lubuk ikan kelah selain kawasan rekreasi seisi keluarga.

Katanya, pencemaran sungai itu didakwa telah berlaku ber­ulang kali sejak empat tahun lalu dipercayai akibat pelepasan sisa buangan oleh pengusaha kilang.

“Kita mahu pihak berkuasa cari punca perkara ini kerana kami tidak mahu Sungai Ketil terus tercemar dan khazanah ikan sungai mati begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Gambar Hiasan

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim yang turun padang meninjau kawasan rekreasi itu menggesa Jabatan Alam Sekitar segera bertindak sebelum keadaan bertambah serius.

Katanya, Taman Rekreasi Rimba Wangi telah dinaik taraf sejak tahun lalu sebagai tempat penduduk tempatan untuk mandi manda, berkelah dan melakukan aktiviti rekreasi bersama keluarga.

“Pada tahun 2019 pernah berlaku pencemaran sehinggakan beberapa kilang ditutup. Kita tak mahu perkara sama berulang. Saya difahamkan pencemaran ini dikesan berlaku ketika waktu cuti dan diharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Taman Rekreasi Rimba Wangi digazetkan sebagai tempat riadah dan rekreasi tahun lalu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin.

Selepas pengumuman itu, kerja-kerja naik taraf giat dilakukan oleh Majlis Daerah Gua Musang termasuklah pembinaan dataran, kios jualan, tangga dan kemudahan lain untuk orang awam.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker