Apa pula reaksi pembangkang jika MP kerajaan melompat ke sana?
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata, reaksi pembangkang pastinya berbeza jika wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang menyertai mereka dan bukan sebaliknya.
Dia berkata demikian ketika mengulas langkah dua ahli Parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) yang keluar parti dan menyokong kerajaan PN.
“Masalah dengan pembangkang ini kalau orang dia pergi sokong kerajaan – dia marah, kalau orang kerajaan lompat sokong dia – tak apa pula.
Itu masalah dia (pembangkang),” katanya ketika ditemui di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata perubahan sokongan dua ahli Parlimen itu adalah disebabkan keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Pembangkang sokong PN baguslah, dari segi politik secara kasar itu satu tanda keyakinan wakil rakyat kepada kepimpinan perdana menteri.
“Selepas mereka lihat setahun memerintah, mereka rasa yakin sebab itulah dia keluar parti dan sokong PN.
“Kita harap ramai lagilah (sokong PN) bukan setakat dua orang saja. Kita gembira sebab ada bertambah sokongan,” kata Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan.
Sng dan Choong berkata mereka membuat keputusan menyokong PN demi kepentingan pengundi mereka.
Choong berkata dia memerlukan akses untuk berjumpa menteri dan ketua agensi kerajaan bagi menyelesaikan isu rakyat, manakala Sng berkata dia perlu memainkan peranan menyokong Muhyiddin dalam melakukan apa yang perlu untuk membantu rakyat pada masa sukar ini.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa PN setelah hilang majoriti bergelut untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat sebelum boleh mengadakan sidang Parlimen.
PKR Johor pula hari ini membuat permohonan maaf kepada pengundi Tebrau dan menyifatkannya sebagai “pengkhianatan terhadap mandat rakyat”.
Mengulas berkenaan keperluan mewujudkan undang-undang menghalang lompat parti, Mohd Amar berkata Kelantan pernah cuba melakukannya dahulu tetapi dihalang mahkamah.
“Dulu Kelantan pernah buat tetapi undang-undang itu dibatalkan mahkamah.
“Ada pandangan mengatakan tukar parti ni hak demokrasi, hak individu,” katanya.