Lawan Tetap Lawan – Ahmad Ismail
KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail menegaskan beliau akan tetap bertanding pada pemilihan Kongres Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) bagi penggal 2021-2025 yang berlangsung secara maya esok.
Ahmad berkata, beliau akan kekal dalam perebutan jawatan presiden tiga penjuru menentang penyandang jawatan, Datuk Abdul Halem Kader dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Mohd Nasri Haron meskipun terdapat kemusykilan mengenai perjalanan kongres yang didakwanya tidak mengikut perlembagaan.
“Setakat ini kekal. Kebiasaannya saya akan berbincang dengan sahabat saya dan saya tak tahu sama ada ia sah atau pun tidak (kongres).
“Undi kononnya sudah berjalan tetapi kongres belum lagi… saya pun jadi bingung,” kata Ahmad dalam sidang media petang tadi.
Dalam satu laporan media semalam, Abdul Halim mendedahkan PSM tidak menghantar undian pencalonan bagi kongres mengikut prosedur yang ditetapkan.
Proses pencalonan ditutup pada 11 Februari lalu, sementara sesi undian berakhir pada jam 6 petang Jumaat lalu sebelum kongres diadakan hari ini.
Halim turut dikatakan kecewa dengan perkembangan berkenaan dan akan membincangkan tindakan atau hukuman terhadap badan induk kebangsaan itu.
“Malaysia akan hadir (kongres secara maya berkenaan) untuk menyatakan protes kami, nak pastikan (aplikasi) Zoom itu betul. Saya pun tak tahu bagaimana perkiraan (undian) dibuat.
“Pada saya, dia (Halim) tak patut tahu mana negara yang hantar, juruaudit tak patut lapor pun. Tunggu pada hari kongres, juruaudit cuma perlu umum berapa undi dapat pada (calon) A, B, C dan D dan undi rosak.
“Jadi, saya melihat kongres ini lebih kepada untuk memperbetulkan keadaan, untuk membawa semula ASTAF ke landasan sewajarnya mengikut kehendak, peraturan dan artikel yang terkandung dalam perlembagaan ASTAF,” kata Ahmad.
Kongres itu sepatutnya dijalankan pada tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.
Selain Ahmad, Ahli Majlis ASTAF dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh bakal bertanding merebut jawatan timbalan presiden manakala Ahli Majlis PSM, Yusoff Ali pula bertanding jawatan Ahli Majlis ASTAF.