Gagal persembah tarikh sidang Parlimen boleh dianggap satu penderhakaan – Mahfuz

Sebaran :

Keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan sidang Parlimen boleh dianggap satu penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) walaupun darurat sedang berkuatkuasa.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, walaupun Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah memberi perkenan Parlimen boleh bersidang, namun sehingga kini Muhyiddin masih membisu.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin masih tidak memberi maklum balas terhadap titah Agong boleh diadakan sidang Parlimen.

“Bagi saya ini macam ingkar dan boleh dianggap sebagai satu penderhakaan kepada Agong.

“Bila Agong telah menitah bahawa Parlimen boleh bersidang dengan prosedur operasi standard (SOP), Tan Sri Muhyiddin kena menghadap Agong untuk beri cadangan tarikh sidang Parlimen perlu diadakan,” katanya dalam sesi wawancara khas bersama MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, YDPA menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Titah baginda, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen harus sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Menurut baginda, ia termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Al-Sultan Abdullah juga menitahkan tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Dalam pada itu, Mahfuz juga menyifatkan keingkaran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan sidang Parlimen boleh dianggap sebagai satu satu penafian kepada hak demokrasi rakyat.

“Beliau bukan hanya menafikan hak Ahli Parlimen, bahkan Muhyiddin juga menafikan hak demokrasi rakyat, sebab ahli Parlimen ini dipilih oleh rakyat untuk membawa suara rakyat, untuk berperanan mewakili rakyat.

“Parlimen adalah lambang demokrasi rakyat untuk melakukan semak dan imbang bagi memastikan negara berada pada landasan yang betul.

“Hari ini bila sidang Parlimen tidak diadakan, perundangan digantung, maknanya Tan Sri Muhyiddin menafikan demokrasi rakyat,” katanya.

Mahfuz yang juga bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia menyifatkan Kerajaan PN tidak kebal dan bebas melakukan apa sahaja meskipun YDPA memberi perkenan untuk melaksanakan darurat sehingga Ogos ini.

“Kerajaan PN tidak kebal daripada darurat, cuma mereka tak ada vaksin politik.

“Sepatutnya mereka kena akur, mereka tak boleh derhaka kepada Agong,” katanya lagi. – MG


Sebaran :

Leave a Reply