Dua lelaki positif dadah pecut kereta bawa PATI

 

PASIR MAS: Tindakan seorang pemandu memecut laju kenderaannya selepas diarah berhenti oleh anggota polis trafik membawa padah, apabila didapati membawa seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam kejadian di Jalan Panglima Raja, Lemal, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata dalam kejadian jam 1 tengah hari, anggotanya sedang membuat rondaan sebelum terserempak kereta Perodua Alza dalam keadaan mencurigakan.



Katanya, anggota polis itu kemudian mengarahkan pemandu seorang lelaki berusia 20 tahun memberhentikan kenderaan namun bertindak memecut laju sebelum anggota bertugas terus mengejar suspek.

“Bagaimana pun, pemandu memberhentikan kenderaan sebaik sampai di hadapan sebuah rumah di Kampung Chenerai, Alor Pasir, di sini, dan suspek bersama seorang lagi penumpang lelaki berusia 40 tahun, keluar daripada kenderaan itu dan cuba melarikan diri.

“Hasil tindakan pantas anggota bertugas, mereka berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam kenderaan berkenaan menemui seorang lagi penumpang wanita warga Thailand di bahagian tempat duduk belakang, dipercayai memasuki negara secara haram.

“Pemeriksaan tubuh badan dijalankan kepada semua suspek namun tidak menemui apa-apa barangan salah dan ketiga-tiga mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.



Mohamad Roy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, tular di media sosial hari ini, gambar anggota polis trafik lengkap berpakaian seragam menahan lelaki di sekitar Pasir Mas, di sini.

“Hasil ujian saringan air kencing, kedua-dua suspek lelaki yang juga warga tempatan berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine, manakala wanita Thailand berusia 26 tahun, menunjukkan keputusan negatif daripada sebarang jenis dadah.

“Dua lelaki berkenaan akan dikenakan tindakan kesalahan menyeludup PATI, malah menghalang penjawat awam menjalankan tugas.



“Anggota polis sentiasa komited menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan dan keamanan setempat terjaga selain membanteras isu penyeludupan terutama membabitkan PATI,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker