Mahathir minta bantu ‘Pejuang’ bernafas – Hamzah



Sebaran :

KUANTAN: Setelah gagal mempertahankan jawatan Pengerusi Amanah Negeri dalam pemilihan parti itu pada 2019, bekas penyandang jawatan itu, Hamzah Jaafar memilih untuk berehat dari arena politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hamzah bagaimanapun berkata, beliau menerima pelawaan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membantu dan mengetuai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Pahang.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang isu dengan Amanah yang memaksanya untuk keluar ataupun meninggalkan parti berkenaan.



“Tiada isu (dengan Amanah), lebih bersifat membantu Pejuang. Saya dalam Amanah pun hanya ahli biasa, memang hendak berehat dalam arena politik.

“Tapi, bila Pejuang minta bantu, saya pertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hamzah diumumkan sebagai Ketua Pejuang Pahang dalam senarai ketua negeri dikeluarkan Setiausaha Agung penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.



Hamzah ialah bekas calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong di Raub pilihan raya umum lalu dan dilantik menjadi pengerusi Amanah negeri sehingga 2019.

Dalam pemilihan Amanah pada tahun tersebut, Hamzah tewas kepada Zulkifli Mohamed.

Berhubung lantikan tersebut, Hamzah berkata, beliau hanya mengetahuinya daripada rakan-rakan yang memaklumkan berhubung perkara itu.



Jelasnya, beliau tidak ada memohon menyertai Pejuang, tetapi diminta untuk membantu parti itu.

“Pejuang belum didaftarkan lagi, jadi bertaraf penaja, maksudnya bila kita dah masuk, atau diterima masuk atau diamanahkan berkhidmat dalam satu-satu parti, parti lama itu automatik sudah tiada,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, tidak ada menghantar surat untuk keluar daripada parti Amanah. – UTUSAN ONLINE




Sebaran :


Leave a Reply