Mahathir dan Anwar, saling curiga hilang adalah rasa percaya

ULASAN | Dari sudut pandang Islam, Jumaat dianggap sebagai penghulu segala hari. Namun dari sudut pandang politik Malaysia, Selasa menjadi hari yang paling dinanti nanti oleh pencandu politik tanah air.

Suatu ketika dahulu, Selasa menjadi modal gurauan netizen untuk menyakat mantan perdana menteri, Najib Razak, yang katanya ingin menyaman The Wall Street Journal (WSJ) pada hari berkenaan.

Entah berapa ribu kali Selasa datang dan pergi silih berganti, namun saman terhadap WSJ itu belum nampak bayangnya langsung.

Beberapa hari lalu, Selasa datang lagi, tetapi ia bukanlah mengenai Najib dan samannya terhadap WSJ, sebaliknya perkhabaran mengenai keputusan Pakatan Harapan (PH) dan calon perdana menteri mereka.

Ia juga mengenai kesanggupan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menerima gandingan di antara beliau dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai regu perdana menteri dan timbalan perdana menteri andainya PH kembali memerintah Malaysia.

Selasa tamat, berganti Rabu. Namun keputusan yang dinanti tidak jua kunjung tiba.

Mengambil inisiatif untuk memecahkan kebuntuan, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, mendedahkan dalam temu bual eksklusif dengan Malaysiakini bahawa PH menunggu jawapan daripada Anwar dan PKR berkenaan cadangan calon itu.

Selepas itu adalah gegak-gempita media sosial dengan serangan para penyokong PKR terhadap Loke dan DAP.

Awalnya tak memeranjatkan

PKR kemudian mengadakan mesyuarat tergempar majlis pimpinan pusat (MPP) serta wakil-wakil rakyat parlimen mereka.

Keputusannya – antara lain – ialah PKR secara tuntas tidak bersetuju dengan cadangan mengangkat semula Mahathir sebagai calon perdana menteri PH.

Putaran plot isu ini tidak tamat di situ saja. Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, mengeluarkan kenyataan bersama bahawa regu Mahathir-Anwar itu adalah alternatif sekiranya pilihan awal – Anwar dan Mukhriz Mahathir – tidak berjaya mendapatkan sokongan minimum 112 ahli parlimen.

Saya berasakan bahawa misi Anwar ke Sarawak untuk mencukupkan 112 ahli parlimen itu tidak berjaya. Maka kerana itulah Selasa 16 Jun berlalu senyap sunyi tanpa khabar berita.

Kisah ini tidak tamat kerana rupanya dikhabarkan Anwar bertemu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Pertemuan itu pada awalnya tidaklah memeranjatkan kerana ia Anwar merupakan ketua pembangkang dan Muhyiddin pula ketua kerajaan.

Namun berdasarkan maklumat daripada sumber, pertemuan Anwar dan Muhyiddin itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada rakan sekutu PKR dalam PH, iaitu Amanah dan DAP. Maka timbul sedikit keraguan di situ.

(Saya bersedia untuk diperbetulkan sekiranya maklumat yang saya terima ini salah. Untuk tujuan penulisan ini, saya mempercayai kejujuran sumber maklumat.)

Lebih Dicjatkan saya Anwar diberitakan turut menemui Hamzah Zainuddin sekurang kurangnya tiga kali. Pertemuan ini diakui oleh Johari Abdul, salah seorang hulubalang setia Anwar.

Bagi yang mengikuti kronologi Reformasi 1998, Hamzah bukan nama asing dalam konspirasi menumbangkan Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada masa itu.

Dalam Langkah Sheraton juga, Hamzah berperanan besar sebagai “pengutip pengakuan bersumpah”. Bahkan ucapan terima kasih sulung Muhyiddin selepas Yang di-Pertuan Agong menabalkan beliau sebagai perdana menteri juga menyebut nama Hamzah sebagai antara yang terawal.

Demikian besar jasa Hamzah untuk menjayakan Langkah Sheraton sehingga Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof, dikhabarkan terguris hati.

Dikelilingi tukang bisik yang gelisah

Hamzah bukan orang asal Bersatu. Beliau datang dari Umno namun naik lebih pantas dalam Bersatu. Menambahkan pedih lagi apabila Hamzah menjadi menteri lebih kanan berbanding Redzuan yang diangkat sebagai menteri tugas tugas-tugas khas.

Selepas Langkah Sheraton, Hamzah dilantik oleh Muhyiddin sebagai setiausaha agung Bersatu dan Menteri Dalam Negeri, sekaligus memastikan kem Mahathir kena ‘checkmate’ dan kini menjadi kem ahli parlimen tanpa parti.

Melihatkan rentetan sejarah Hamzah, saya berasa lucu apabila Johari memberi alasan perjumpaan Anwar dengan ahli parlimen Larut itu adalah untuk “membawa mesej reformasi”.

Mengaitkan Hamzah dengan reformasi adalah seperti mengaitkan Donald Trump dengan antiperkauman. Tak masuk akal.

Saya mengikuti rapat sejarah regu Mahathir-Anwar ini sejak zaman sekolah. Suatu ketika dahulu, mereka sangat akrab.

Dikhabarkan bahawa setiap pagi Anwar akan bersarapan dengan Mahathir di rumah Mahathir sambil memberikan kemas kini berkenaan urusan kabinet dan negara.

Tidak juga saya lupa akan sumpah setia Anwar terhadap Mahathir yang diulang ulang setiap kali perhimpunan agung Umno.

Ungkapan “saya anggap Mahathir bagai ayah saya sendiri” juga tidak lekang dari lidah Anwar suatu ketika dulu.

Dalam Umno dahulu, semua orang takut dengan Mahathir. Tapi Anwar – dek kerana keakraban mereka – tidak takut-takut untuk mengusik dan menyinggung rambut remos Mahathir kerana Mahathir meremehkan orang berjanggut.

Kalau saya di tempat Kak Wan atau Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, barangkali saya akan cemburu melihat akrabnya hubungan Mahathir – Anwar dahulu.

Apa berlaku hingga mereka berdua hari ini menjadi musuh ketat?

Saya percaya bahawa antara mereka berdua sudah hilang rasa percaya.

Kedua-dua aktor politik terbesar dalam sejarah Malaysia itu dikelilingi oleh golongan pembisik yang tidak senang melihat pihak yang satu lagi. Saya berikan sekadar dua contoh.

Pertama, Zahid Mat Arip – mantan setiausaha politik Mahathir – adalah pembenci Anwar. Kita tahu bahawa Zahid merupakan Mursyidul Am Tolak Insan Bernama Anwar Ibrahim (Tibai).

Kedua: Azmin – insan yang suatu ketika dahulu dianggap hulubalang setia Anwar, tetapi bertukar kulit mengkhianati bos lama dan kini menjadi orang nombor dua dalam Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya PH tidak mahu keretakan sekarang menjadi ledakan nuklear, tiada pilihan lain kecuali mereka mengusulkan pertemuan empat mata ala-ala kaunseling rumahtangga.

Barangkali mungkin juga perlu ada watak watak pendamai sekali yang boleh menjadi orang ketiga.

(Saya tidak fikir Khalid atau Loke orang yang sesuai. Mungkin Mohamad Sabu atau Liew Chin Tong?)

Mahathir dan Anwar, yang hilang di antara mereka adalah percaya. Kedua dua mereka saling meragui antara satu sama lain.

Apa impak jika perseteruan ini tidak diredakan? Selain kerajaan Malaysia yang sudah hilang (dan tidak dapat dirampas kembali), ada kemungkinan negeri negeri lain juga bakal tergugat.

Selangor, Negeri Sembilan, Sabah dan juga Pulau Pinang – semua ini adalah saki-baki benteng terakhir maruah PH yang perlu pertahankan.

Misi itu akan jadi mustahil andai serangan dan tembakan di antara sekutu ini tidak dihentikan.

Oh ya, Azmin sedang berseronok di media sosial ‘menganjing’ pertelingkahan yang sedang berlaku. Kalaupun PH tidak sayangkan negeri mereka, janganlah beri Azmin modal untuk bergembira.


JUWAINI ABDUL RAHMAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker