Kenapa Tidak Tonjolkan Kekejaman Komunis & Pengorbanan Anggota Keselamatan?

Buku teks Sejarah tingkatan empat yang dipertikaikan Pemuda Umno memang perlu dikaji semula agar tiga elemen dapat ditonjolkan, kata bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid.

Menurutnya, elemen yang tidak ditonjolkan dalam buku sekarang ialah kekejaman komunis, pasukan keselamatan yang terkorban menentang komunis serta perjuangan Umno yang menuntut kemerdekaan.

“Elemen pertama, (dalam) kandungan buku berkenaan komunis digambarkan sangat sederhana dan tidak diceritakan kekejaman komunis. Hanya diceritakan Parti Komunis (Malaya) berjuang menentang penjajah sedangkan elemen komunis berkaitan kekejaman tidak ada dalam buku berkenaan,” katanya.

Elemen kedua pula kata ahli parlimen Padang Terap itu lagi, tidak dinyatakan mengenai anggota polis dan tentera yang terkorban dalam berjuang menentang komunis.

“Ketiga, penubuhan parti Perikatan – MCA ada dinyatakan, sebaliknya Umno yang menuntut kemerdekaan tidak dinyatakan langsung,” katanya.

Mahdzir bercakap kepada media selepas menyampaikan sumbangan sempena program Ceria Ke Sekolah anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kota Bharu, Kelantan hari ini. Dia merupakan pengerusi TNB yang dilantik kerajaan Perikatan Nasional.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa fakta dalam buku teks tersebut dimanipulasi dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

[VIDEO] Restoran Pamer Unsur Komunis, Polis Buka Kertas Siasatan

 

Merujuk dua halaman dalam buku itu, Asyraf Wajdi mendakwa turut dipaparkan ialah peranan gerakan nasionalis Melayu radikal dalam perjuangan kemerdekaan dan perjuangan Malayan People’s Anti-Japanese Army’s (MPAJA) menentang penjajahan Jepun.

Dakwanya lagi, ia usaha terancang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) bagi menanam ideologi “Malaysian Malaysia” dan membuatkan pelajar berasakan sosialis dan komunis bukan fahaman buruk.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini menegaskan buku teks itu sudah melalui proses kawalan mutu yang ketat sebelum diperakukan.

Dalam perkembangan sama bekas menteri pendidikan Maszlee Malik juga menjelaskan bahawa Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bermula sejak 2017 lagi bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Maszlee turut membidas Asyraf Wajdi kerana membuat tuduhan ke atasnya dan PH “secara membuta tuli”.

Mahdzir berkata, walaupun buku teks itu diluluskan jawatankuasa ketika dia menjadi menteri pendidikan, namun tarikh kelulusan iaitu 24 April 2018 adalah tempoh berkempen sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 pada 8 Mei 2018.

Katanya, dia tidak terlibat dengan kelulusan tersebut kerana kerajaan ketika itu hanya bersifat caretaker (sementara).

“Saya sendiri sudah tidak masuk ke pejabat dan menteri sendiri ketika itu adalah penyandang sebelum Umno kalah pada PRU ke-14.

“Justeru saya lihat kandungan buku itu perlu dikaji semula,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker